Sabtu, 15 Ogos 2015

Bajet dipotong RM1 bilion, kemasukan ke IPTA turun 5.5 peratus

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR,  KEADILAN membantah penurunan pengambilan pelajar ke universiti Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) akibat pemotongan bajet oleh kerajaan, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Beliau memetik laporan akhbar di mana Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr. Asma Ismail mengumumkan hanya 40,438 pelajar diterima masuk ke IPTA untuk sesi 2015/2016.

Sim berkata, mengikut data yang diperolehi di parlimen, pengambilan pelajar pada tahun 2015 adalah paling rendah berbanding tahun 2013 iaitu 41,573 pelajar dan 42,795 pelajar pada tahun 2014

“Maka, kami menjangka ramai pelajar yang layak masuk ke IPTA tidak mendapat tawaran atau mendapat tawaran yang di luar pilihan pada tahun ini,” katanya.

Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, penurunan kemasukan pelajar disyaki berkaitan pemotongan Bajet IPTA yang mendadak dalam Bajet 2015 yang diluluskan di Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan memotong 12.36 peratus iaitu daripada RM8.47 bilion (2014) kepada RM 7.42 bilion pada 2015, iaitu penurunan sebanyak RM1.03 bilion.

“Pemotongan bajet adalah disebabkan oleh pengawalan fiskal yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri akibat gagal mengawal hutang Negara yang hampir mencecah 55 peratus”

“Parti KEADILAN berpendapat, kerajaan tidak harus memotong bajet IPTA kerana ia merupakan satu tanggungjawab Negara dan juga pelaburan yang bijak,” jelasnya.

Menurutnya, ibu bapa kini menghadapi masalah serius untuk membiayai kos yuran IPTS dan universiti luar Negara akibat kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar.

“Maka, ini peluang yang terbaik untuk menarik pelajar-pelajar cemerlang terus belajar di IPTA daripada melanjut pelajaran di luar Negara,” katanya.

Justeru katanya, KEADILAN menyeru IPTA menambah pengambilan pelajar dalam pengambilan kedua yang akan diumumkan pada September.

Dalam pada itu, katanya, KEADILAN juga melancarkan laman web Higher Education Complaint and Appeal Portal (HEAP) untuk membantu pelajar yang gagal mendapat sebarang tawaran atau ditawarkan kursus di luar pilihan.

Laman web ini dibuka untuk semua pelajar lepasan STPM dan setaraf yang mahu membuat sebarang aduan mengenai kemasukan ke IPTA. Jelasnya, mereka hanya perlu mengisi borang aduan di laman web tersebut sebelum 21 Ogos ini dan KEADILAN akan mengumpulkan data-data yang diterima untuk dianalisis.

Tiada ulasan: