shahbudindotcom
Mesyuarat
perwakilan bahagian-bahagian tahun ini barangkali yang tersibuk bagi
Najib Razak kerana paling banyak bakal dirasmikan olehnya. Tidak
seperti tahun-tahun sebelumnya yang mana hanya beberapa UMNO bahagian
saja dirasmikannya manakala selebihnya dilakukan oleh pemimpin-pemimpin
yang lain, tahun ini keadaan itu jadi sebaliknya.
Tahun
ini seperti setiap minggu ada saja acara perasmian itu untuk Najib.
Macam dah berlumba-lumba pula dengan Muhyiddin Yassin yang sudah
dipecatnya. Sebahagiannya kerana jemputan bahagian, yang lainnya mungkin
atas permintaan Presiden UMNO itu sendiri.
Minggu
lepas, Najib merasmikan tiga bahagian iaitu Seremban, Kota Melaka dan
Hulu Selangor. Ketika itu juga beliau perlu pergi ke kawasan
Parlimennya, Pekan kerana mengadakan jamuan hari raya di sana.
Sibuk
betul Najib sejak memecat timbalannya walaupun ada wang RM2,600 juta
dalam akaun peribadinya....nasib baik ada jet peribadi dan helikopter
yang boleh membawa ke sana sini dengan cepat.
Minggu
ini pula beliau merasmikan mesyuarat UMNO Bandar Tun Razak di Wilayah
Persekutuan dan Pasir Gudang, Johor. Di Pasir Gudang, sebagaimana yang
diberitahu oleh Khaled Nordin, kehadiran Najib bukan atas jemputan atau
kehendak bahagian itu tetapi kerana Najib sendiri meminta untuk menjadi
perasminya.
Aduyai...malu wehh!!
Kenapa
sampai meminta-minta. Biasanya jemputan merasmikan ini terpulang kepada
sesuatu bahagian itu. Dengan kesibukan tugas sehariannya menguruskan
negara, adalah biasa Perdana Menteri menolak jemputan merasmikan
mesyuarat UMNO, tetapi tentulah luar biasa bila beliau seolah-olah
merayu mahu datang ke sebuah bahagian itu.
Rasanya
inilah pertama kali sejak UMNO ditubuhkan seorang Presidennya meminta
untuk merasmikan mesyuarat UMNO bahagian dan ia kemudian didedahkan pula
seolah-olah UMNO Pasir Gudang tersepit di kedudukan "rela dalam
terpaksa" menerima kehadiran Najib itu.
Di sisi Najib, perbuatan meminta-minta ini lebih tepat diumpamakan "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong."
Jika
UMNO Pasir Gudang sepenuhnya rela dan gembira dengan kehadiran Najib,
buat apa Khaled perlu memberitahu kehadirannya sebagai perasmi itu bukan
kehendak bahagian, sebaliknya diminta oleh Presiden UMNO itu sendiri?
Selepas
memecat Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, kehadiran
Najib tidak lain ialah untuk "menyuci dosa-dosanya" terhadap
perbuatannya itu sambil mengharapkan sokongan dapat diteruskan
kepadanya.
Tetapi
kehadiran Najib bukan saja mendapat sambutan lesu, itu pun setelah
diingatkan oleh Khaled agar perwakilan UMNO Pasir Gudang yang
diketuainya berdisiplin dan berhemah menyambut kedatangan tetamu, bahkan
ugutan Najib sama ada BR1M perlu diteruskan atau sebaliknya, disambut
dengan jawapan "tidak" oleh mereka.
Selain
itu terdapat juga memorandum daripada cawangan-cawangan dalam UMNO
Pasir Gudang yang diserahkan dengan tangan kepada Najib sendiri
memintanya berehat daripada jawatannya.
Sekali lagi...malu weh diperlakukan sebegini rupa!
Harapan
Najib untuk mendapatkan sokongan daripada UMNO Johor dengan hadir
merasmikan bahagian yang dipimpin oleh Menteri Besarnya bukan saja tidak
kesampaian, malah malu pula bertompok-tompok menimpanya.
Ketika
merasmikan mesyuarat UMNO Bandar Tun Razak sehari sebelum itu, Najib
bersungut kerana pemimpin UMNO tidak bersungguh-sungguh mempertahannya
sedangkan mereka sudah menerima wang daripadanya.
"Sebagai
Presiden parti, apa yang saya buat, sama ada kutip dana atau apa-apa,
adalah semata-mata untuk kepentingan parti, bukan yang lain-lain.
"Zaman
saya banyak pertolongan disalurkan kepada bahagian, banyak kerja amal
dibuat, ramai orang pergi haji, banyak bahagian dapat sumbangan setiap
bulan.
"Tetapi janganlah apabila (wang) sudah dapat, semua senyap. Apabila saya diserang, kita pula tambah tuang minyak," katanya lagi.
Jika
di Pasir Gudang, Najib menonjol-nonjolkan perbuatan "hidung tak
mancung, pipi tersorong-sorong", di Bandar Tun Razak pula, beliau tidak
malu-malu bersikap "buruk siku" kepada pemmpin-pemimpin UMNO yang
menerima wang daripadanya.
Sekali
lagi, amatlah malang ada Presiden UMNO sebegini rupa. Kenapa perlu
diungkit-ungkit pemberian yang sudah diberi? Berapa sebenarnya wang yang
diberikan oleh Najib kepada bahagian-bahagian berbanding RM2,600 juta
yang masuk ke dalam akaun peribadinya?
Lagi
pun, bukankah wang itu diberi untuk menggerakkan aktiviti parti dan
bukannya sampai ke peringkat mempertahankan sesuatu yang tidak wajar
atau salah dilakukan oleh Presiden UMNO sekali pun?
Apakah
jika tidak didedahkan oleh The Wall Street Journal dan Sarawak Report,
Najib mahu mengaku wang RM2,600 juta itu sebagai sumbangan penderma
untuk dana politik?
Apa
pun, sama ada secara nyata mahu pun terlindung, sikap "buruk siku" dan
"hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" yang ditunjukkan oleh Najib
ini tidak lain menunjukkan dirinya semakin terdesak untuk mempertahankan
diri, walaupun hakikatnya sudah wujud tanda-tanda beliau semakin tidak
dikehendaki lagi dalam UMNO.
Dalam
kehidupan seharian pula, orang "siku buruk" dan ditambah pula dengan
perbuatan "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" adalah mereka yang
paling dibenci dan diumpat setiap hari.
Begitu
juga dengan Najib, dua perbuatannya ini akan terus menjauhkannya
daripada UMNO dan juga rakyat. Penolakan dan kebencian itu sudah kian
merata sehingga semakin ramai tidak segan-segan meluahkannya di facebook
milik Najib sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan