Isnin, 17 Ogos 2015

Anak Nik Aziz nafi sertai Harapan Baru

Anak Nik Aziz nafi sertai Harapan Baru
Status yang mengaitkan penyertaan Nik Omar dalam Harapan Baru.


KOTA BHARU - Anak sulung bekas Mursyidul Am Pas, Nik Omar Nik Abdul Aziz menafikan dakwaan menyertai Harapan Baru sebagaimana yang tersebar di blog dan portal berita sejak beberapa hari lalu.

Sebaliknya beliau berkata, kehadirannya pada program anjuran Harapan Baru ini bagi memenuhi undangan untuk menjayakan slot pengkisahan tentang bapanya (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat).

Menurutnya, tidak ada perbincangan mengenai Harapan Baru ketika itu, malah beliau tidak pernah disuarakan untuk bersama- sama menyertai gerakan tersebut sebelum ini.

“Tak bincang dan tak pernah bincang mengenai Harapan Baru. Kehadiran saya lebih kepada memenuhi undangan untuk slot pengkisahan tentang Tok Guru,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Harapan Baharu, Mohamad Sabu akan menghantar wakilnya bagi bertemu Nik Omar dalam masa terdekat.

Mohamad berkata, buat masa ini beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung hasrat anak kedua bekas Menteri Besar Kelantan itu.  

[ARTIKEL BERKAITAN: Mat Sabu hantar wakil temui anak Nik Aziz]

Mengulas mengenai Harapan Baru, Nik Omar berkata, jika di peringkat awal dahulu, beliau lebih suka jika kepimpinan Pas sama ada mursyidul am ataupun Majlis Syura Ulama mengadakan perbincangan mengenainya.

“Namun kini ia sudah menuju ke arah parti Islam, dan mungkin satu hari perlu untuk menerima hakikat akan wujud dua parti berteraskan Islam di Malaysia,” katanya.

Nik Omar berkata, bagaimanapun apa yang lebih penting, satu kaedah supaya tidak berlaku pertembungan antara keduanya perlu dicari dan perbezaan pandangan yang wujud diraikan sebaiknya.

Beliau berkata, apa yang diharapkan pemimpin Pas dan Harapan Baru akan dapat duduk semeja untuk menyelesaikan kemelut dihadapi antara keduanya, malah  beliau percaya perkara itu akan dapat dilakukan selagi ada usaha ke arah itu.

Dalam pada itu, Nik Omar mengakui terdapat perbezaan kepimpinan Pas berbanding pada zaman bapanya, namun secara peribadi beliau menghormati pendekatan yang digunakan oleh kedua-duanya

Tiada ulasan: