MALAYSIAKINI
Beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho membuat
kejutan pada Kejohanan Badminton Dunia apabila mengalahkan beregu nombor
satu dunia, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi dalam pusingan ketiga di
Stadium Tertutup Istora Senayan, di Jakarta semalam.
Beregu emas Sukan SEA Singapura itu bertindak tenang serta memperagakan
aksi cemerlang untuk mengatasi gandingan Jepun itu dalam rubber set
21-15, 12-21 dan 21-14 untuk menempah slot ke suku akhir buat julung
kali pada kejohanan itu.
"Memang tidak sangka, kami sangat gembira dengan kemenangan ini. Ini
adalah kali pertama kami menang ke atas beregu Jepun itu selepas dua
kali kalah kepada mereka sebelum ini.
"Mereka pemain nombor satu dunia...kami hanya bermain seperti biasa,"
kata Fie Cho kepada pemberita selepas pertarungan selama 58 minit itu.
Pada saingan suku akhir esok, beregu negara itu akan berdepan dengan
pasangan Maheswari Nitya Krishinda/Greysia Polii selepas beregu tuan
rumah itu mengalahkan wakil Jepun, Matsuo Shizuka/Naito Mami, 21-17,
21-19 pada perlawanan pusingan ketiga.
Dalam acara perseorangan lelaki, bekas pemain nombor satu dunia, Datuk
Lee Chong Wei mara ke suku akhir setelah menumpaskan pemain China, Wang
Zheming dalam straight set 21-17 dan 21-19.
Chong Wei akan berdepan dengan pemain Hong Kong, Hu Yun pada suku akhir.
Dalam pertarungan selama 49 minit itu, Chong Wei menunjukkan semangat
yang membara dengan menampilkan rentak pantas.
"Saya mahu lepas geram, saya memang sangat geram kerana didapati positif
doping selepas kejohanan dunia ini pada tahun lepas dan tahun ini saya
mahu lepas geram betul-betul," katanya ketika ditemui.
Beliau berkata walaupun Zheming cuba mengheretnya ke perlawanan rubber
set tetapi ia dapat mengelak dengan bermain secara pantas bagi
meletihkan lawannya itu.
Menurutnya, beliau tidak mahu memberi peluang kepada Zheming supaya
rekod tanpa kalah sebanyak 12 kali dengan pemain nombor lapan dunia itu
tidak tercalar.
Chong Wei berkata kemenangan itu adalah untuk membuktikan beliau akan
membuat kemunculan kembali selepas bebas daripada hukuman penggantungan.
"Selama lapan bulan digantung, saya tidak membuang masa, saya terus berlatih dan tidak sabar untuk beraksi di sini," katanya.
Bagaimanapun, Chong Wei merupakan wakil tunggal negara dalam acara
perseorangan lelaki selepas Zulfadli Zulkifli tersingkir pada pusingan
ketiga apabila kalah kepada pemain Hong Kong, Wei Nan dengan 15-21
dan9-21.
"Saya hilang rentak tetapi Wei Nan juga bermain dengan bagus dan dia
lebih berpengalaman dari saya," kata bekas juara remaja dunia berusia 21
tahun itu yang melakukan penampilan sulung pada kejohanan itu.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong gagal
meneruskan kemaraan ke suku akhir apabila tewas 21-18 dan 21-18 kepada
beregu China, Liu Xiaolong/Qiu Zihan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan