AMPANG, Terdapat gerakan yang disusun bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada yang turut melibatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN), dedah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid menegaskan perkara berkenaan merupakan satu gerakan yang perlu dipandang serius oleh semua ahli parti politik memandangkan ancaman tersebut didakwa diketuai oleh pemimpin Umno dan BN sendiri.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya dapat tahu ada usaha untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih melalui demokrasi.

“Herannya diketuai oleh pemimpin Umno dan BN. Saya tidak akan pernah mengizinkan perkara ini berlaku,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Ampang, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, usaha berkenaan diketahui melalui maklumat yang disampaikan kepada beliau oleh sumber-sumber yang kukuh dan boleh dipercayai.

Zahid menambah, gerakan itu dikatakan untuk mengumpulkan sokongan dari ahli-ahli parlimen pembangkang dan juga BN melalui akuan bersumpah bagi membolehkan kerajaan yang kini dipimpin BN digulingkan.

“Ada tokoh-tokoh tertentu dan didalangi tokoh-tokoh tertentu juga untuk dapatkan akuan bersumpah di kalangan ahli parlimen pembangkang dan juga cuba menarik ahli-ahli parlimen BN untuk tumbangkan kerajaan sedia ada melalui pintu belakang.

“Saya dapat maklumat, dari sumber-sumber yang sangat dipercayai dan usaha ini sedang berjalan. Kononnya 87 pembangkang dan satu bebas mereka sedang berusaha termasuk menarik ahli parlimen BN untuk menyokong mereka,” tambah beliau.

Perkara ini didedahkan Zahid yang juga Naib Presiden Umno dengan bertegas dalam memastikan perkara tersebut tidak akan terlaksana.

Malah, beliau juga penuh keyakinan memberi jaminan bahawa pemimpin Umno dan BN tidak akan terjebak dengan gerakan yang sedang disusun tersebut.

“Saya minta kepimpinan akar umbi dan di peringkat nasional bangun bagi memastikan perkara ini tidak terjadi.

“Ini akan menyebabkan gelojak politik nasional. Mereka tak sanggup tunggu PRU (pilihan raya umum), mereka nak masuk ikut pintu belakang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh itu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan juga Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.