MALAYSIAKINI
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen BN, Tan Sri Shahrir Samad meminta
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan
terhadap laporan yang mendakwa wujud 20 orang Ahli Parlimen BN
berkomplot untuk menggulingkan kerajaan.
Bercakap kepada media di
bangunan parlimen hari ini, Shahrir memberitahu kerajaan perlu memandang
serius terhadap isu tersebut dan ia tidak boleh dijadikan mainan
politik.
"Kami berdesak pihak SKMM menyiasat perkara ini dan
mengambil tindakan tegas kerana apabila melibatkan ahli parlimen, kami
rasa ia cabaran kepada institusi parlimen dan ia tidak boleh jadi mainan
politik atau mainan cerita mana-mana pihak," katanya.
Malah,
Shahrir sekali lagi menegaskan, pihaknya tidak terlibat sama sekali
dalam usaha menggulingkan kerajaan seperti yang dilaporkan.
"Sebenarnya
ia satu cerita yang direka. Ia langsung tak benar. Tidak ada sesiapa
pun daripada Ahli Parlimen BN yang dihubungi atau menghubungi mana-mana
pihak untuk mengetahui sama ada kami mahu atau tidak menyokong
kepimpinan kerajaan hari ini," tegasnya lagi.
Shahrir yang juga
ahli Parlimen Johor Bharu itu berkata, pihaknya kini sedang menunggu
masa untuk bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi berhubung perkara tersebut.
"Saya rasa kami akan berpeluang menjumpa TPM dan akan sampaikan pandangan kami.
"Pokoknya, orang yang buat cerita ini tak tanya pun TPM," tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan