SHAH ALAM – Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri
Khairuddin Abu Hassan melangkah lebih jauh apabila membuat laporan polis
ke atas syarikat Petrosaudi International dan 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) di Balai Polis Chairing Cross, London.
Khairuddin memaklumkan perkara itu menerusi laman Facebooknya semalam,
bahawa laporan itu dibuat berdasarkan dakwaan pengubahan wang haram
yang melibatkan syarikat tersebut.
“Laporan polis ini adalah berkisar kepada pengubahan wang haram di
antara syarikat Petrosaudi International dan 1MDB untuk disiasat oleh
The Proactive Money Laundering Investigative Team.
“Polis Metropolitan London juga telah menghubungi peguam saya Matthias
Chang dan berikrar untuk memberi kerjasama dalam melaksanakan
penyiasatan aktiviti pengubahan wang haram rentas sempadan ini secara
komprehensif serta telus,” katanya.
Beliau turut menegaskan tindakannya menggunakan proses undang-undang
antarabangsa bertujuan membolehkan siasat terperinci dilakukan terhadap
syarikat milik kerajaan itu.
“Ini dana kerajaan yang juga wang rakyat selaku pembayar cukai di
tanah air kita. Ini adalah maruah negara yang mesti disiasat oleh
badan-badan penguat kuasa undang-undang mahupun kewangan secara
terperinci.
“Sepatutnya kerajaan kita menyiasat kes ini secara telus dan saksama
dan sesiapa saja yang terlibat dengan jenayah ini harus dibawa ke muka
pengadilan tanpa pilih kasih,” katanya.
Katanya undang-undang tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak termasuk pemimpin negara.
Disember tahun lalu, Khairuddin mengejutkan ramai pihak apabila beliau
satu-satunya pemimpin Umno yang membuat laporan polis terhadap 1MDB.
Bulan lalu, Khairuddin turut membuat laporan kepada polis Perancis
mengenai 1MDB, dan tiga hari lalu beliau turut membuat laporan sama
kepada Peguam Negara Switzerland.
Kontroversi 1MDB mendapat perhatian ramai termasuk media antarabangsa
apabila syarikat itu dikatakan menanggung beban hutang sebanyak RM42
bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan