TANJUNG MALIM – Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) kali ke-17 kali ini mencipta sejarah bagi tiga pasangan suami isteri apabila menerima ijazah masing-masing secara serentak, kelmarin.

Keenam-enam mereka yang melalui pengajian jarak jauh (PJJ) di bawah Program Pensiswazahan Guru (PPG) menerima pembiayaan yuran pengajian selama empat tahun daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pasangan N Panir Selvam, 35, dan isterinya, P Puspam, 35, sama-sama mengajar di Kangkar, Pulai, Johor berkata, kemasukan mereka ke Upsi adalah permohonan kedua.

Panir yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Tamil berkata, pemilihan Upsi adalah tepat berdasarkan kualiti dan pencapaian institusi itu sebelum ini.

“Sistem online untuk PJJ di Upsi mudah, apatah lagi kami mendapat kerjasama baik daripada kalangan pensyarah.

“Sepanjang pengajian ini, kami akui memang sibuk, selalunya kami lakukan tugasan secara bersama selepas menidurkan anak,” katanya.

Pasangan ini memiliki tiga cahaya mata berusia antara 2 hingga 8 tahun.

Bagi pasangan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sekolah Rendah, Riduan Ramle, 38, bersama isteri, Norhazliza Husin, 39, menganggap belajar di Upsi sebagai pilihan tepat kerana sistem pembelajaran yang efisien dan sesuai untuk guru.

Mereka yang berasal dari Felda Sungai Koyan, Raub, Pahang sebelum ini, pernah menolak tawaran melanjutkan pengajian ke universiti tempatan lain kerana memilih mendirikan rumah tangga.

“Tawaran ke Upsi pada 2011 disambut kerana kedudukan rumah tidak jauh dengan kampus Upsi,” kata Riduan yang mengajar di SK Tun Teja, Rawang.

Pasangan Anwar Ariffin, 33, dan isteri, Noridayu Mohamad Sayed, 31, mengakui belajar secara PJJ menuntut kesabaran yang tinggi kerana terpaksa menguruskan keluarga dan pengajian.

Mereka yang sama-sama mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Indah, Klang, Selangor  sejak 10 tahun lalu menganggap sistem online yang dibangunkan Upsi amat membantu untuk berinteraksi dengan pensyarah dan rakan, berforum serta proses penghantaran tugasan.