Isnin, 1 Jun 2015

Tiada pimpinan tinggi PAS mahu keluar Pakatan

MALAYSIAKINI


 


Tidak ada seorang pun pemimpin tertinggi dalam PAS berpendirian mahu membawa parti itu keluar dari Pakatan Rakyat, tegas Datuk Mustafa Ali.

Malah Setiausaha Agung PAS itu berkata setakat ini beliau tidak mendengar sebarang usul yang mahu parti berkenaan dibawa keluar daripada Pakatan.

Bahkan katanya, beliau juga difahamkan dalam ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar nanti, isu berkenaan juga tidak terkandung.

"Memandangkan tahun ini tahun pertandingan, ada pemilihan, biasalah dalam zaman media sosial ini, ia dimanfaatkan dan menjadikan pemilihan hangat sedikit. Saya akui.

"Tapi tiada ada seorang pun pemimpin tertinggi ada pendirian nak keluar daripada Pakatan Rakyat. Dan tidak ada kumpulan pro-Pakatan atau kumpulan anti-Pakatan," katanya.

Menurut Mustafa, walau blok mana pun yang menang dalam pemilihan PAS kali ini parti itu tidak akan keluar daripada Pakatan.

'Perang' dalaman PAS semakin panas ketika tarikh muktamar dan pemilihan semakin hampir.

Di satu pihak, wujud kumpulan yang digelar proulama yang dekat dengan Abdul Hadi, manakala di sisi lain ialah kumpulan moderat yang mahu kerjasama dengan Pakatan dipererat.

Namun di sebalik keadaan itu Abdul Hadi dan penyokongnya semakin kerap membuat kenyataan yang menimbulkan keresahan di kalangan parti lain dalam Pakatan, serta rakyat.

Antara kenyataan Abdul Hadi ialah membenarkan umat Islam memarahi DAP yang didakwanya menentang hudud.

Mustafa berkata, cakap-cakap mengenai PAS akan keluar daripada Pakatan hanyalah spekulasi.

Muktamar Dewan Pemuda PAS akan bermula di Dewan Jubli Perak, bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam esok.

"Ada yang kata masa depan Pakatan bergantung kepada muktamar PAS kali ini. Itu tak betul," kata Mustafa dalam sidang medianya hari ini. 


Tiada ulasan: