SHAH ALAM - Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak menunaikan janji untuk hadir pada program 'Dialog PM bersama NGO' seolah-olah beliau seorang 'penakut'. 
 
“Kalau hendak kata Tun Dr Mahathir Mohamad pembelit, kaki pembohong, Tun Dr Mahathir berani datang ke program dialog ini. Dia berani hendak berhadapan dengan semua orang.
 
“Tetapi Najib tidak berani datang, bagi saya dia penakut...  tiada alasan lain,” katanya kepada media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini, 
 
Khairuddin dilihat bersama-sama Dr Mahathir pada sidang media selepas program itu dihentikan oleh pihak polis. 
 
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Najib tidak hadir ke program berkenaan kerana faktor keselamatan atas nasihat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.    
Pejabat PM dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa program itu, yang dijadual berlangsung pada pukul 10 pagi, terpaksa ditangguhkan atas arahan PDRM.
 
"Hal demikian disebabkan pertimbangan isu keselamatan di lokasi. Ikut arahan dan nasihat Ketua Polis Negara, Perdana Menteri tidak dapat menghadiri program ini," menurut kenyataan itu.    
 
Majlis yang bertajuk 'Nothing to Hide' anjuran Sukarelawan Peguam Malaysia (Sukaguam) bertukar selepas kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.