MALAYSIAKINI
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mengemukakan rayuan
kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman ke atas
penyerang import pasukan itu, Paulo Rangel yang digantung selama enam
bulan.
Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid berkata rayuan itu akan
dilakukan dalam minggu ini bagi meringankan hukuman ke atas pemain
kelahiran Brazil berusia 30 tahun itu.
"Kami juga akan meminta penjelasan lanjut berhubung hukuman yang telah
dikenakan itu," katanya kepada pemberita selepas Kongres PBSNT yang
diadakan di Kuala Terengganu hari ini.
Sebelum
ini Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya memutuskan bahawa
Rangel didapati bersalah menendang bola ke arah penolong pengadil
tambahan kedua dan menolak badan pengadil, yang melanggar Artikel 51 (b)
Kod Tatatertib FAM 2015 dan dibaca bersama dengan Artikel 18 para 4 Kod
Tatatertib FAM 2015.
Pemain yang pernah menyarung jersi pasukan Selangor itu melakukan
kesalahan tersebut ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara
Terengganu dan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala
Terengganu pada 16 Mei lepas.
Bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35
Kod Tatatertib FAM 2015 bagi menetapkan pemain (Rangel) dikenakan
penggantungan selama tiga bulan pertama dahulu (dari 20 Jun hingga 19
Sept) dan baki tiga bulan (dari 20 Sept hingga 19 Dis) ditangguhkan
tertakluk kepada kelakuan baik pemain.
Pada kongres tersebut, PBSNT telah meluluskan dua usul iaitu cadangan
kepada badan induk bola sepak negara itu untuk menubuhkan pasukan bola
sepak sendiri bagi menggalakkan lagi persaingan dalam arena bola sepak
tanah air.
Selain itu pihaknya juga telah bersetuju untuk memberikan pas bermusim kepada 15 orang anggota jawatankuasa bagi setiap daerah.
"Kami akan memanjangkan cadangan untuk tubuhkan pasukan ini kepada FAM
dan terpulang kepada mereka (FAM) untuk menilai mahupun sebaliknya,"
katanya.
Wan Ahmad Nizam berkata pihaknya juga telah membuat rayuan berhubung
denda yang dikenakan berjumlah RM87,500 kepada PBSNT kerana tindakan
penyokong membakar suar dan membuat kecoh pada perlawanan separuh akhir
kedua Piala FA lalu.
Beliau berkata pihaknya masih menunggu keputusan daripada FAM berhubung denda terbabit.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan