KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak ‘mengajar’ Pas dalam menentukan
keputusan mengenai status lantikan politik di Selangor dan Pulau
Pinang.
Mohd Amar berkata, keputusan mengenai perkara itu akan diputuskan
Majlis Syura Ulama yang akan bermesyuarat tidak lama lagi dan usul
tersebut adalah bersifat cadangan, bukannya arahan sebagaimana
dipolemikkan.
“Sekarang ini, Majlis Syura Ulama belum buat keputusan, jadi kita kena
tunggu. Jika Majlis Syura Ulama berpendapat kena putus (dengan DAP),
pada waktu itu kita akan arahkan semua orang kita supaya meletakkan
jawatan. Sekarang ini belum ada keputusan muktamad, maka belum keluarlah
sebarang arahan.
“Saya nasihatkan Guan Eng tidak perlulah mengajar kita. Keputusan
Majlis Syura Ulama ini kebiasaannya akan dimaklumkan kepada Pas Pusat,
yang akan ambil tindakan sewajarnya dengan keputusan tersebut,” katanya
kepada media selepas merasmikan Program Festival Koperasi Tengku
Muhammad Faris Petra, di sini.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang menggesa Pas mengarahkan
wakilnya dalam kerajaan Pulau Pinang untuk meletakkan jawatan sekiranya
maruah politik masih wujud dalam kepimpinan baharu parti itu.
Menurutnya, DAP tidak boleh terlalu berlapang dada jika benar lantikan
politik di Pulau Pinang meletakkan jawatan kerana walaupun Exco negeri
itu dikuasai DAP dan PKR, namun hasil usaha kemenangan pilihan raya juga
hadir daripada sumbangan Pas.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan turut menegaskan,
Pas Pulau Pinang bersedia untuk sebarang kemungkinan meletakkan jawatan
sekiranya keputusan Majlis Syura Ulama menetapkan demikian.
“Orang baru bincang tentang hendak bercerai, bukannya sudah bercerai.
Kalau bercerai, ada talak juga, tengok bercerai macam mana, kalau talak
tiga, tidak boleh baik, itu sahaja. Lantikan politik di Pulau Pinang ini
pun kecil sangat dan mereka pun bersedia,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau turut ditanya mengenai
bayangan kepimpinan negeri yang mungkin akan dirombak selepas muktamar
baru-baru ini.
“Buat masa sekarang, kita masih belum putuskan pesuruhjaya, bila sudah
ada pesuruhjaya nanti, maka terserah kepadanya untuk menentukan. Sama
ada kepimpinan sekarang masih kekal ataupun buat Kabinet baharu, semua
keputusan belum ada,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan