shahbudindotcom
Tiga
sekawan daripada kumpulan progresif Pas iaitu Salahuddin Ayub, Mahfuz
Omar dan Mohd Taufek Abdul Ghani telah ditawarkan menganggotai Ahli
Jawatankuasa Pas Pusat setelah berlaku "pembersihan etnik" dalam
pemilihan parti itu baru-baru ini.
Bagaimanapun
ketiga-tiganya masih menimbang sama ada mahu menerima atau menolak
tawaran tersebut dan adalah dijangka keputusan mengenainya akan dibuat
selepas Aidilfitri nanti.
Dalam
pemilihan itu, semua kumpulan progresif dibersihkan daripada memenangi
jawatan di peringkat Pas Pusat, kecuali pejuang peneroka Felda, Mazlan
Aliman yang "terselit" menang sebagai Ahli Jawatankuasa.
Beliau
bagaimanapun meletakkan jawatan beberapa hari kemudian dengan alasan
mahu menumpukan perhatian kepada NGO Anak yang diasaskannya.
Salahuddin dan Mahfuz tewas bagi jawatan Naib Presiden manakala Mohd Taufek pula kecundang bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Pas.
Beberapa
tokoh penting Pas yang selama ini mewarnai politik negara, dikenali
ramai dan memberi banyak sumbangan kepada parti itu seperti Mohamad
Sabu, Husam Musa, Dr Mujahid, Khalid Samad, Hanifa Maidin, Nizar
Jamaluddin dan ramai yang lain yang dicop sebagai kumpulan progresif
atau profesional dalam Pas, semuanya kecundang di tangan kumpulan pro
ulama.
Bagaimana
proses mengenepikan kumpulan progresif ini berjalan kelihatannya sangat
tersusun memandangkan dalam UMNO sendiri pun proses pembersihan
sebegitu rupa tidak pernah terjadi di mana-mana pertandingan yang pernah
diadakannya meskipun beberapa kali berlaku perebutan di peringkat pucuk
pimpinannya.
Lantaran
itu, ramai yang kecewa melihat bagaimana kumpulan progresif ini
diketepikan, tambahan pula sebahagian yang memenangi jawatan baru-baru
ini tidak begitu dikenali ramai dan masih hijau lagi. Mereka menang
hanya semata-mata diletakkan dalam "cai" pro ulama.
Tidaklah
menghairankan apabila Mohamad Sabu sendiri melihat bagaimana kumpulan
progresif ini diketepikan tidak ubah umpama proses "pembersihan etnik"
yang biasa dilakukan di negara-negara bekas kesatuan Soviet Union
sebelum ini.
Persoalannya, apakah keputusan yang wajar bagi ketiga-tiga sekawan itu? Menolak atau menerima perlantikan yang ditawarkan?
Melihat
bagaimana kumpulan progresif ini difitnah dan diaibkan sepanjang
pemilihan lalu dengan gambaran antaranya mereka adalah tajaan DAP dan
digelar Jebon, adalah wajar tiga sekawan ini menolak tawaran tersebut.
Kumpulan
progresif harus memberi peluang sepenuhnya dan seratus peratus kepada
kumpulan ulama mentadbir Pas dalam tempoh dua tahun akan datang ini
kerana itulah yang dikehendaki oleh para perwakilan sebenarnya.
Biarlah
pimpinan baru ini menentukan hala tuju Pas dan mencatur perancangannya
tanpa campurtangan daripada kumpulan progresif ini. Berkembang atau
menguncup dalam dua tahun sehingga pemilihan akan datang, Pas pro
ulama inilah yang harus memikul bebannya.
Lagi
pula, satu-satu Ahli Jawatankuasa Pas yang menang, Mazlan Aliman telah
menunjukkan semangat setiakawan dan solidariti dengan tindakan
terpujinya meletakkan jawatan kerana ingin "serentak seirama" bersama
rakan-rakannya yang kecundang.
Dan
kini adalah masanya pula bagi rakan-rakan yang tewas tidak menerima
sebarang tawaran daripada Pas untuk menduduki apa-apa jawatan sekali
pun. Bersolidaritilah pula kepada Mazlan Aliman.
Jika
salah satu atau ketiga-tiga sekawan ini menerima tawaran itu, bermakna
mereka tidak menghargai sama sekali pengorbanan yang telah dilakukan
oleh Mazlan Aliman itu.
Salahuddin,
Mahfuz dan Mohd Taufek tidak perlu risau mengenai masa depan mereka
jika menolak tawaran sebagai Ahli Jawatankuasa itu kerana mereka akan
lebih dihormati jika tidak menerimanya berbanding sebaliknya.
Lebih
dari itu, Mahfuz yang kalah Naib Presiden juga sudah pun digugurkan
sebagai Pesuruhjaya Pas Kedah baru-baru ini dan dengan itu tawaran
sebagai Ahli Jawatankuasa tidak memberi banyak makna kepada nilai
dirinya yang sudah ditolak dua kali sebenarnya.
Tindakan
Pas tidak menawarkan sebarang jawatan kepada Mohamad Sabu yang kalah
bagi jawatan Timbalan Presiden Pas juga menimbulkan tanda tanya
seolah-olah beliau tidak diperlukan lagi dalam perjuangan masa depan
parti itu.
Sebaliknya
kepada Mohamad Sabu sebagaimana yang diucapkan oleh Tuan Ibrahim Tuan
Man, Timbalan Presiden Pas yang baru, beliau sekadar dirayu agar terus
bersama-sama Pas dan tidak mencari wadah baru untuk meneruskan
perjuangannya.
Tidakkah
tindakan menawarkan jawatan kepada Salahuddin, Mahfuz dan Mohd Taufek
ini seolah-olah ingin memecahkan kumpulan progresif yang ketika ini
nampaknya sedang bersatu?
Setelah
keseluruhan kumpulan progresif dilabel dengan pelbagai gelaran dan
disingkirkan melalui "cai", kini mereka cuba dipecahkan pula dengan
tawaran jawatan kepada tiga sekawan ini.
Rupa-rupanya benarlah dalam serban dan jubah pro ulama ini, siku dan lutut lebih banyak peranannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan