Sabtu, 20 Jun 2015

Siapa yang tidak sokong PAS boleh sertai DAP atau PKR

THE RAKYAT POST


PAS BALA
Pengerusinya, N. Balasubramaniam berkata DHPP tidak akan berganjak daripada keputusan itu meskipun ada segelintir individu yang menunjukkan kecenderungan untuk menubuhkan parti baru. - Foto TRP/Azrol Ali



KUALA LUMPUR:  Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tetap berpendirian akan menyokong kepimpinan ulama yang menerajui parti itu.

Pengerusinya, N. Balasubramaniam berkata DHPP tidak akan berganjak daripada keputusan itu meskipun ada segelintir individu yang menunjukkan kecenderungan untuk menubuhkan parti baru.

Bercakap kepada The Rakyat Post, Balasubramaniam berkata pihaknya menghormati keputusan perwakilan yang memilih golongan ulama menerajui parti itu melalui Muktamar parti itu baru-baru ini.

“Pendirian kami tetap akan menyokong kepimpinan sekarang malah sokongan kami tidak akan terjejas.

“PAS adalah parti agama dan tidak memainkan isu perkauman jadi kami tetap berpendirian akan sentiasa bersama PAS.

“Keputusan Muktamar itu dipilih oleh perwakilan PAS dan kami memang bekerjasama dengan perwakilan,” ujarnya.

Jelasnya, DHPP juga menyokong keputusan PAS sekiranya parti itu memutuskan untuk tidak bersama DAP.

Malah katanya, individu yang ‘kecewa’ dalam pemilihan itu tidak harus menubuhkan parti baru.

Ini kerana katanya, mereka boleh menyertai DAP atau PKR sekiranya tidak ‘sebulu’ dengan kepimpinan sedia ada.

“Kalau PAS dah putus hubungan dengan DAP pun kami sokong.

“Mereka yang kalah dalam pemilihan dan mahu tubuh parti baru, itu saya tidak setuju. Siapa yang tidak sokong PAS boleh sertai DAP atau PKR.

“Kami sendiri tahu kami sokong ulama dan tidak akan lari dari kenyataan itu,” katanya.

Tiada ulasan: