Selasa, 16 Jun 2015

Saya menang bukan kerana ‘menantu Hadi’

Mohd Akmal Kamaruddin Mohd Akmal Kamaruddin
 
 
PEMUDA Pas Perak kini menampilkan gandingan yang lebih segar antara muka baharu dan lama. Namun, sebelum terbentuknya barisan kepimpinan Pemuda untuk sesi 2015-2017, pelbagai cerita dan khabar angin menghiasi pemilihan baru-baru.
 
Lebih menarik, ketika Muktamar Pemuda Pas Perak ke-32 yang diadakan di Markas Air Kuning, Mei lalu telah mencetuskan kontroversi apabila beberapa calon bertindak menarik diri dari bertanding.  Kehangatan itu nyata menarik perhatian ramai.

Walau bagaimanapun, variasi spekulasi dan kisah di sebalik hangatnya Muktamar Pemuda Pas Perak tidak berlanjutan lama dan semuanya nampak kembali tenang selepas muktamar memutuskan jawatan Ketua Pemuda Pas Perak yang sebelum ini disandang Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss kini dikepalai Mohd Akmal Kamaruddin.

 Ikuti wawancara Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad bersama Mohd Akmal yang berkongsi misi dan visi Pemuda Pas Perak selain menjawab beberapa persepsi dan kontroversi yang muncul sebelum dan ketika peralihan kepimpinan berlaku.
 
Jawatankuasa Pemuda Pas Perak kali ini dibarisi ramai muka baharu. Mengapa tiada tempat kepada pemimpin yang kalah? 
 
Yang pertama sekali kita menampilkan muka-muka baharu sesi ini kerana kita hendak memberi peluang mereka beraksi di pentas anak muda di negeri Perak memandangkan zaman atau sesi kali ini merupakan sesi yang sangat mencabar terutamanya ketika Pas sedang mengalami sedikit masalah.

Jadi, kita melihat Pas memerlukan orang-orang baharu untuk beraksi bagi menangani krisis yang sedang berlaku ini terutamanya dalam usaha kita untuk merapatkan saf dan kerjasama yang erat bagi menarik anak muda seramai mungkin untuk bekerja dengan kita. 
 
Ada cakap-cakap mengaitkan pemilihan jawatankuasa Pemuda Pas Perak kali ini lebih beremosi. Kalau sebelum ini pemimpin kalah dalam pemilihan diberikan jawatan dalam jawatankuasa harian, kali ini tidak.

Ada juga yang mengaitkan wujud unsur dendam menyebabkan mereka tidak dilantik. Benarkah?
 
Tak betul tu. Untuk sesi ini kita melantik semula semua yang kalah dalam pemilihan kali ini. Jadi dakwaan mengatakan kita tidak lantik yang kalah tidak benar sama sekali.

Sebagai contoh, Tauran Yahya kita lantik semula sebagai ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pemuda Pas Perak dan Uthman Awang sebagai Ketua Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda Pas Perak.

Ini dua calon yang kalah kita lantik. Mereka tanya apa asas kita lantik mereka yang kalah? Asasnya, mereka ketika mengisi borang dan menandatangani penawaran untuk bertanding pada muktamar lalu secara tindak langsung mereka bersetuju untuk berkhidmat. Jadi kita beri peluang kepada mereka.
 
Apa komen anda mengenai amalan nepotisme dalam Pas. Ahli keluarga menonjol diri untuk dipilih sebagai pemimpin. Kemenangan anda sebagai Ketua Pemuda Pas Perak turut dikaitkan dengan pengaruh sebagai menantu Presiden Pas, bukan sebab kelayakan.
 
Nepotisme ini adalah sesuatu yang negatif sebenarnya iaitu sebagai contoh bila mana presiden yang lantik saya untuk jawatan tertentu seperti setiausaha agung atau jawatan bendahari agung.

Tetapi yang berlaku sekarang ini, saya naik melalui pemilihan daripada sokongan pemuda-pemuda di peringkat kawasan. Begitu juga Khalil (anak Presiden Pas) naik melalui pemilihan dengan sokongan pemuda kawasan dan bukannya presiden yang lantik.

Melihat kepada sejarah dalam politik, saya dididik oleh arwah ayah saya, Allahyarham Kamaruddin Awang Bashir yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Negeri dan didik melalui institusi Pas iaitu Kolej Islam Darul Ulum yang diketuai Allayharham Fadzil Noor ketika itu. Saya naik melalui institusi Pas.

Menantu ini kebetulan saya kahwin dengan anak Tuan Guru Presiden. Jadi tidak timbul isu itu dan kalau betul isu nepotisme ini, bermakna Tuan Guru ada 11 menantu, jadi semua menantunya diarahkan duduk di setiap negeri jadi ketua pemuda.

Rata-rata perwakilan di Perak ini profesional dan terpelajar. Mereka berhak menentukan siapa yang harus duduk di kerusi Pemuda Pas di Perak.
 
Apa kecenderungan utama anda bertanding? 
 
Yang pertama, saya telah menerima pencalonan yang luar biasa dari kawasan yang saya tak pernah dapat. Melebihi daripada separuh pemuda kawasan iaitu satu jumla yang luar biasa.

Keduanya, saya merasakan ini adalah tanggungjawab yang tak boleh nak elak untuk bersama-sama rakan-rakan pemuda yang memberikan pencalonan kepada saya untuk berkhidmat pada sesi ini sebagai ketua pemuda walaupun saya sendiri rasa saya tak layak sebab di dalam hadis nabi sebut kamu jangan minta jawatan, jika jawatan itu kamu dapat kerana diminta, nescaya ALLAH tidak akan tolong kamu sehingga selesai pegang jawatan dan jika jawatan itu kamu dapat bukan sebab diminta, ALLAH akan tolong. Jadi saya harap ALLAH tolong.
 
Sesetengah pihak melihatkan pengaruh ulama dalam Pas sudah tidak relevan sebaliknya ada sesetengahnya melihat penguasaan ulama dalam kepimpinan Pas hari ini cuba membersihkan Pas dari anasir yang boleh meruntuhkan parti. Apa pandangan saudara?
 
Kepimpinan ulama di dalam Pas ini masih relevan. Apabila disebut sebagai ulama ini ia difokuskan kepada peringkat pusat. Macam ketua pemuda tak semestinya ulama kerana jika ketua pemuda di kalangan ulama, saya tidak duduk di kerusi ini sebab saya bukan ulama.

Kalau orang kata saya ulama itu tak betul. Ulama dinilai dari segi keilmuan dan ketakwaan kepada ALLAH SWT. Masyarakat yang menilai mereka ulama, tuan guru dan sebagainya.

Menjadi ulama perlu masa yang lama melalui disiplin ilmu yang tinggi. Cumanya Pas memerlukan pemimpin yang menyokong kepimpinan ulama terutama sokongan dari golongan muda.
 
Hubungan Pas dengan PR kini ibarat retak menanti belah. Ini disebabkan beberapa percanggahan dan perbezaan pendapat yang tidak dapat diselesaikan. Apakah masa depan Pas dalam PR dalam bahaya? Adakah Pas bersedia untuk bergerak bersendirian sekiranya DAP dan PKR menolak untuk terus bekerjasama dengan DAP?
 
Sebenarnya, di dalam PR ini saling memerlukan antara satu sama lain, bukan saling hentam menghentam antara satu sama lain. Sebab kita tengok contoh Perak, kalau Pas sendiri pun dari segi kiraan politik pun atas kertas kita tak boleh memerintah begitu juga dengan DAP dan PKR.

Jadi, presiden dah sebut Pas bersama dengan masyarakat majmuk. Pada masa ini memang Pas perlu kepada kerjasama yang erat di antara parti-parti PR. Kita boleh bersetuju dengan apa yang kita tak bersetuju. Insya-ALLAH hubungan antara PR akan pulih sebab semua ada tujuan yang sama iaitu membanteras penyelewengan yang berlaku hari ini.

Tohmahan bekerjasama dengan Umno itu sengaja direka cipta dan tiada asasnya.
 
Selain di peringkat negeri, saudara juga merupakan YDP Pas Larut, bagaimana ust membahagikan masa untuk kawasan dan Pemuda Negeri?
 
Kita ini sebenarnya ‘Super Team’ bukan ‘superman’. Sesi ini, apa yang saya nak bawa ialah gagasan daripada team sendiri secara kolektif. Maknanya apa yang dibawa bukan saya tetapi kita, Pemuda Pas atau Pas Kawasan Larut.

Dengan itu, bebanan jadi kurang dan kita akan buat retreat Pas kawasan dan retreat Pemuda Pas kawasan untuk gariskan misi dan visi bersama. Kita akan bergerak seiring.
 
Apa perancangan jangka pendek dan panjang Pemuda Pas negeri bagi tempoh dua tahun menjelang PRU14?
 
Untuk jangka panjang, pertama sekali kita mahu mencari reda ALLAH dan selamat di akhirat. Yang keduanya, kita nak memenangi PRU akan datang semua kerusi yang kita tandingi. Kemudian kita nak menempatkan calon-calon pemuda sekurang-kurangnya 10 orang sebab pengundi hari ini banyak generasi Y.

Dalam jangka masa pendek pula, kita akan rapatkan saf pemuda yang sedia ada di semua peringkat supaya semua peringkat berasa bertanggungjawab dan kebersamaan dalam Pemuda Pas Negeri Perak, mengambil contoh apa yang Rasulullah buat bila sampai di Madinah, dia satukan kaum yang bertelagah dan berjaya menang peperangan demi peperangan. Kita juga akan mantapkan pengurusan organisasi kita di semua peringkat.
 
Seperti yang kita sedia maklum, Pemuda Pas Pusat turut tampil dengan barisan kepimpinan yang baharu. Apa pandangan anda tentang barisan kepimpinan baharu dan apakah yang diharapkan Pemuda Pas Perak terhadap kepimpinan Pemuda Pas Pusat itu?
 
Pertama sekali, saya mewakili Pemuda Pas Perak mengucapkan tahniah kepada kepimpinan yang baharu dipilih. Doa kami semoga kalian dapat menjalankan amanah dengan baik.

Kita mengharapkan agar pimpinan merangka agenda utama untuk menyatukan saf Pemuda semua peringkat. Keduanya, kita mengharapkan pimpinan merancang satu agenda yang berkesan untuk menarik sokongan anak muda kepada Pas. Pada masa yang sama, kita mahu Pemuda Pas kembali ke meja rundingan bersama pimpinan PR.

PROFIL

Nama: Mohd Akmal Kamarudin
Umur:37 tahun
Asal: Batu Kurau
tempat lahir: Baling, Kedah
Status: berkahwin
 
Jawatan terkini yang disandang:
 
1) Ketua pemuda pas perak,
2) Yang Dipertua Pas Kawasan Larut
Latar belakang akademik: pengajian
terakhir peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Al-Auza’i

Pengalaman politik:
 
1) Calon Pas Dun Selama
2) Timbalan YDP Pas Kawasan Larut,
3) Ketua Penerangan Pas Larut,
4) Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak,
5) Ketua Penerangan Pemuda Pas Perak.
6) Timbalan Ketua Pemuda Pas Larut.
Pengalaman mahasiswa:
1) Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Syria.
2) Presiden Persatuan Mahasiswa Kolej Islam Darul Ulum.

Tiada ulasan: