Khamis, 11 Jun 2015

Saya akui punca krisis tapi demi negara, kata Tun M

 
Negara akan kacau bilau jika UMNO/BN kalah pilihan raya kerana tiada parti mendapat majoriti untuk mentadbir negara.


mahathir,malaysia


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku beliau disebalik krisis yang berlaku tetapi apa yang dilakukannya itu kerana suasana ketakutan di negara ini.

Katanya, jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya akan datang, negara akan jadi kucar kacir kerana tiada parti politik yang mendapat majoriti untuk mentadbir negara.

“Pembangkang tidak mampu kerana mereka bertelagah sesama sendiri. Kerajaan Pakatan akan lemah dan tidak stabil.

“Tanpa sebuah kerajaan yang kuat, negara ini akan menjadi anarki. Krisis yang akan bersama dengan pemerintahan anarki akan lebih teruk.

“ Jadi saya memutuskan untuk membuat pendedahan tentang salah laku 1MDB yang mana diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya menerusi entri terbaharu diblognya.

Dr Mahathir berkata, krisis itu boleh ditamatkan jika Najib meletak jawatan untuk membolehkan siasatan adil dan tanpa rasa takut dibuat terhadap pinjaman RM42 bilion oleh 1MDB.

Katanya, selagi Najib menjadi Perdana Menteri, siasatan rapi tidak boleh dijalankan.

“Kita telah melihat bukan sahaja laporan polis dibuat terhadap 1MDB dan Jho Low tidak disiasat, bahkan orang yang melaporkan perkara ini telah diisytiharkan bankrap, rumahnya dirampas dan dijual malah beliau pula disiasat kerana penggubahan wang haram dan membiayai pengganas,” katanya.

Katanya, Najib boleh kembali menjadi Perdana Menteri jika tidak ada jenayah dikesan dan kesemua wang dikembalikan.

“Menuduh saya bertanggungjawab terhadap krisis ini, Najib seolah-olah menyatakan bahawa marilah kita semua menerima kehilangan wang berbilion ringgit ini dan menganggap tidak ada-apa yang berlaku.

“Krisis mungkin terhasil, tetapi adakah kita boleh membiarkan pencuri mencuri berbilion-bilion ringgit bagi mengelakkan krisis,” katanya.

Tiada ulasan: