Rabu, 24 Jun 2015

Satu tiang pembangunan pun tiada di Kampung Baru, kata senator


Senator Tan Sri Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata kegagalan dalam perancangan pembinaan semula Kampung Baru akan mendatangkan kemarahan kepada orang ramai kerana pelaksanaannya tidak efektif dan peruntukan juga tidak mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Jun, 2015.Senator Tan Sri Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata kegagalan dalam perancangan pembinaan semula Kampung Baru akan mendatangkan kemarahan kepada orang ramai kerana pelaksanaannya tidak efektif dan peruntukan juga tidak mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insider.


Senator Tan Sri Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman hari ini membidas Putrajaya kerana walaupun meluluskan Akta Pembangunan Kampung Baru setahun lalu, namun hingga kini tidak ada pembinaan berlaku di kawasan tersebut.

"Kampung Baru ini kita rancang pembangunannya dari era Tun Dr Mahathir Mohamad hingga Tun Abdullah Badawi dan kini Datuk Seri Najib Razak yang luluskan akta setahun lalu, sekarang setelah 12 tahun Kampung Baru masih dalam pembinaan.

"Kita tidak melihat satu pun tiang besi yang dinaikkan untuk pembangunan Kampung Baru," katanya di Dewan Negara ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).


Beliau berkata kegagalan dalam perancangan pembinaan semula Kampung Baru akan mendatangkan kemarahan kepada orang ramai kerana pelaksanaannya tidak efektif dan peruntukan juga tidak mencukupi.

Malah beliau juga mempersoalkan mengapa perlu ada pihak ketiga iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam meluluskan pembangunan.

"KIta mahu pembangunan namun tiada peruntukan diberi kepada majlis bandar raya jadi maksudnya tidak ada autonomi kewangan atau badan yang ditubuhkan untuk memantau perkara itu.

"Sekarang ini jika kita mahu kelulusan kena pergi ke DBKL. Kenapa tidak kita melaksanakan menerusi penubuhan Perbadanan Kampung Baru, kenapa kena perlu pergi pihak ketiga," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk pembinaan Kampung Baru adalah contoh kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai 30% peningkatan ekonomi Bumiputera.

"Kenapa kita tidak berjaya saya katakan ada 3 sebab, pelaksanaan, kawal seliaan dan keazaman politik. Orang bertanya adakah kita mempunyai keazaman politik ini, kita ada tapi pelaksanaannya tiada," katanya.

Katanya, faktor kegagalan dalam mencapai sasaran menaikkan ekonomi Bumiputera terletak kepada kaum Melayu sendiri yang tidak mempunyai daya saing seperti bangsa lain.

Tiada ulasan: