Isnin, 22 Jun 2015

Ramadan dan kisah pelaburan FGV




Editorial Harakah


Ramadan datang lagi menemui kita setelah setahun berlalu. Dan pastinya kedatangan Ramadan, bulan ibadah yang penuh keberkatan disambut penuh keterujaan oleh mereka yang beriman.

Menjadi harapan agar ibadah yang kita laksanakan di bulan Ramadan ini adalah lebih baik daripada Ramadan yang lalu. Semoga madrasah Ramadan tahun ini dapat mendidik kita menjadi insan yang benar-benar faham tentang peranannya sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.

Sejak mula beroperasi hampir 4 tahun lalu, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) tidak lekang dengan kontroversi. Ketika mula disenaraikan di Bursa Malaysia, harga penawaran umum (IPO) FGV adalah RM4.45 seunit. Namun kini harga seunit sahamnya menjunam 62% (kepada RM1.65 pada 15 Jun lalu).

Apa yang dialami FGV ini bertentangan langsung dengan janji Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Samad yang mendakwa prestasi saham FGV (semasa mula-mula diapungkan empat tahun lalu) adalah sehebat saham Facebook.

Saham FGV di Pasaran Utama Bursa Malaysia digantung pada 12 Jun lalu ekoran ‘pengumuman penting’ yang bakal dibuat. Ketika digantung pada dagangan Jumaat itu, ia ditutup pada RM1.86, turun 6 sen dengan 3.37 juta saham bertukar tangan.

Pengumuman penting itu berkait dengan keputusan FGV Bhd sebagai syarikat perladangan tersenarai paling besar di Malaysia untuk membeli aset gula bernilai AS$746 juta (RM2.8 bilion) milik ahli perniagaan Indonesia, Peter Sondakh.

Bagi FGV, ianya sebagai bukti integrasi ekonomi di kalangan 10 negara anggota Asean.

Khalayak pelabur dan ahli bank mempersoalkan urus niaga itu yang disifatkan terlalu mahal berbanding harga pasaran. Wujud juga dakwaan bahawa urusniaga itu dilaksanakan bagi ‘menyelamatkan’ Sondakh yang rapat dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

Lebih mendukacitakan, pembelian itu berlangsung ketika isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebuah syarikat pelaburan negara yang sarat hutang sedang mengalami beberapa proses ‘bailout’ membabitkan syarikat-syarikat awam dan bank tempatan.

Ini menimbulkan kebimbangan mengenai tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta penggunaan dana awam oleh kerajaan.

FGV mengumumkan pembelian ekuiti majoriti bukan-kawalan dalam kumpulan perladangan PT Eagle High Plantations (EHP) dan 95% projek gula di kepulauan Papua, kedua-duanya dimiliki Rajawali Group milik Sondakh.

Di bawah pembelian itu, FGV bercadang membayar AS$679 juta bagi 37% kepentingan dalam Eagle High dan AS$66.5 juta lagi bagi aset gula.

Menurut penganalisis, harga sedemikian terlalu tinggi dan pastinya menjejaskan prestasi saham FGV yang kini antara saham paling rugi di kalangan GLC. Ini kerana setiap saham Eagle High dinilai pada 72% lebih tinggi daripada harga yang diniagakan sebelum pengumuman pembelian FGV dibuat.

CIMB Research melaporkan bahawa Felda membayar kirakira AS$17,535 sehektar bagi aset Eagle High, lebih daripada purata harga ladang kelapa sawit di Indonesia iaitu antara AS$8,000 dan AS$13,000 sehektar.

Bagaimanapun Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad seperti biasa mempertahankan urusniaga itu. Bagi Isa, cadangan pembelian ekuiti berkenaan akan memperluaskan lagi skop perniagaan huluan (upstream) FGV, sekali gus meningkatkan lagi sumber pendapatan syarikat./Editorial Harakah

Tiada ulasan: