Isnin, 22 Jun 2015

PM dan Kabinet berhentilah, jangan bawa malang kepada rakyat lagi



Oleh Aspan Alias


Felda Global Ventures Berhad (FGV) nampaknya akan menjadi satu lagi syarikat yang menjadi tempat mereka berkuasa gunakan untuk membuat keuntungan peribadi dengan jumlah besar.

Ada sahaja syarikat-syarikat yang mempunyai tahap kewangan besar, ia akan menjadi mangsa mereka yang berkuasa untuk mencuri dan memunggah apa dipunyai rakyat dan pemegang-pemegang sahamnya.

1Malaysian Development Berhad (1MDB) belum selesai, kini pandangan rakyat berpindah kepada FGV syarikat yang disenaraikan oleh Felda.


Dalam pada peneroka terhutang dengan kejatuhan harga saham FGV, syarikat ini sedang mula berhadapan persoalan tentang pelaburannya di Indonesia pula.

Felda sememangnya terbilang membuat pelaburan dengan membeli harta dengan harga tinggi. Kita tahulah sebabnya tetapi kenapa tidak ada perasaan dan hati untuk peneroka yang bermati-matian membina Felda itu dahulu.

Sampai bila rompakan bersiri oleh pemimpin kerajaan yang berkuasa tidak dapat kita ketahui. Ia bergantung sama ada rakyat dan mereka yang berada dalam Dewan Legislatif Parlimen mampu menyelesaikannya.

Kalau tidak silap saya melihat video di pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri itu seolah-olah menyatakan kepada kita yang perhimpunan membantah dan menuntut Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Walaupun Dr Mahathir yang kita tahu selama ini benci dengan perarakan, perhimpunan beramai-ramai itu sudah mula boleh diterima oleh beliau sebagai cara untuk menyelamatkan negara daripada terus terjerumus ke dalam kehinaan itu. Bagi beliau dan ramai lagi, Najib wajib meletakkan jawatan.

Pembongkaran terbaru tentang FGV ini amat menakutkan rakyat lagi. Kebetulan 1MDB dan Felda adalah di bawah dagu pimpinan Najib dan jika FGV ini menjadi satu lagi isu besar terhadap negara maka kita sudah pasti yang Najib ini sememangnya tidak ada langsung semangat untuk rakyat dan negara. Apa sahaja yang disentuh oleh Najib bakal menerima kehancuran.

Semua sentuhan Najib membawa bala dan bencana. Beliau menubuhkan 1MDB, syarikat itu hancur lebur. Dibawanya Felda di bawah jagaannya sekarang, Felda dan FGV dalam keadaan tenat dan akhirnya disentuhnya kerajaan, maka kerajaan sekarang terumbang-ambing keadaannya.

Semasa Felda berada dalam Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah dahulu, Felda tidak menghadapi isu besar, malahan tiada isu langsung. Apabila dipindahkan kepada Najib, Felda menjadi miskin dan hampir hancur.

Saya begitu hairan dengan pemimpin seperti ini yang boleh tidur dengan nyenyak dan tidak ada langsung perasaan untuk orang ramai yang kian hari kian menderita.

Lebih menghairankan lagi ahli-ahli jemaah Kabinet masih tidak mahu bertindak untuk menahan perdana menteri daripada melakukan kemungkaran ekonomi yang sangat besar ini. Banyak negara dalam dunia ini terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa ini tetapi tidak sehebat dan seteruk pimpinan kita.

Saya adalah salah seorang yang menulis tanpa henti tentang isu rasuah sejak bertahun-tahun dahulu. Saya menulis isu ini kerana ramai datang mahukan saya menulisnya kerana perlakuan rasuah sememangnya tidak dapat disorokkan lagi.

Saya pernah dicaci oleh pembaca kerana saya menulis tentang isu ini tanpa henti. Tetapi sekarang jelas apa yang ramai meminta saya menulis itu ternyata benar dan betul. Saya akan terus menyeru semua pihak supaya berfikir dan memikirkan hal negara walaupun sedikit.

Sekarang yang mencaci orang-orang seperti saya pun mencaci pimpinan tidak berguna ini. Kita elok bertanya di manakah semua menteri yang mengendalikan kerajaan sekarang? Kenapa mereka berdiam diri seribu bahasa dalam menghadap berbagai isu besar ini? Mana Tan Sri Muhyiddin Yassin dan di mana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan di mana Khairy Jamaludin?

Kenapa Muhyidin berani bercakap dalam majlis tertutup sahaja? Kenapa tidak bertindak dan selesaikan isu ini dalam Kabinet?

Nampaknya mereka ini semuanya adalah terdiri daripada mereka yang membawa bencana kepada negara. Kenapakah hijab mereka tertutup begitu rapi dan tidak langsung menampakkan tanda-tanda terbuka.
Dalam keadaan sekarang pun mereka masih memikirkan hal jawatan dan kepentingan mereka sahaja.
Begitu juga dengan ahli-ahli Parlimen. Kenapa tidak bertindak membetulkan keadaan ini dengan cepat?

Hendak tunggu laporan Ketua Audit Negara? Bolehkah kita percaya dan jika pun akhirnya sampai laporan Ketua Audit Negara, segala-galanya sudah hancur lebur. Masalahnya sekarang seluruh kepimpinan negara kita sudah hilang keyakinan rakyat. Apa pun yang Najib katakan untuk membela dirinya, rakyat tetap mempersoalkan kewibawaannya.

Dari sudut moral dan etikanya, sesiapa yang sudah hilang kewibawaan mesti meletakkan jawatan. Perdana menteri dan semua ahli Kabinet perlu bersara serta jangan sentuh lagi hal kerajaan dan rakyat ini. Kamu semua pembawa malang kepada rakyat dan negara. – aspanaliasnet.blogspot.com 


Tiada ulasan: