Selasa, 16 Jun 2015

PAS Selangor mahu semua pihak selamatkan Pakatan

Oleh Nur Atiqah Abd Samad

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abd Samad menggesa semua pihak termasuk PKR dan DAP untuk melakukan usaha-usaha mengukuhkan Pakatan Rakyat (Pakatan).
 
Beliau percaya Pakatan mampu diselamatkan meskipun berdepan dengan cabaran getir.
 
"Di dalam satu pertemuan di Shah Alam, kami bersetuju agar semua pihak mesti berusaha untuk memulihkan hubungan di dalam pakatan tersebut.
 
"Walaupun terdapat banyak cabaran tetapi kami yakin ketiga-tiga parti berupaya menangani sebarang masalah yang timbul dengan bijaksana melalui perundingan.
 
"Kami juga menggesa agar hubungan di peringkat akar umbi dijalin dan diperkukuhkan," katanya dalam satu kenyataan media.
 
Hari ini Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu menyemak semula bentuk kerjasama antara PKR-PAS-DAP.
 
Azizah mengakui ketiga-tiga parti itu kini berdepan dengan masalah dan ia perlu ditangani dengan segera.
 
Namun Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menganggap 'usul PAS untuk putus hubungan dengan DAP' berkuatkuasa serta merta selepas Muktamar PAS meluluskannya.
 
Kenyataan Azmin itu senada dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang menganggap Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud.
 
PAS sebelum ini menegaskan usul memutuskan hubungan dengan DAP masih belum muktamad kerana ia perlu dibuat Majlis Syura Ulama meskipun sudah diluluskan muktamar.
 
 
 

Tiada ulasan: