KUALA LUMPUR - Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu masih bersama PR dan belum memutuskan untuk meneruskan atau menghentikan kerjasama politiknya dalam perikatan itu.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan desakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa agar pimpinan Pas mengeluarkan arahan agar wakil Pas meletakkan jawatan di Pulau Pinang.

"Saya setuju (wakil Pas letak jawatan) jika itu (tinggalkan PR) keputusan Pas. Sekarang ini, Pas masih belum lagi buat keputusan mengenai hubungan dengan parti-parti dalam PR. Jadi mengapa perlu kita lakukannya sekarang?

"Keputusan belum lagi dibuat berhubung kedudukan Pas di dalam PR. Oleh itu kedudukan sekarang ini, Pas masih di dalam PR," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng berkata, Pas perlu  mengarahkan wakilnya meletakkan semua jawatan dalam kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menunjukkan parti itu masih mempunyai maruah.

Ketika ditanya mengenai mesyuarat Majlis Syura Ulama yang akan membincangkan usul Dewan Ulama yang diterima tanpa bahas pada muktamar lalu, Takiyuddin memberitahu tidak mempunyai sebarang maklumat setakat ini.

Setakat ini, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sudah pun melepaskan jawatannya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan kini Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut mengikut jejak langkah sama.

Sementara itu, menyentuh soal amanat bekas Ketua Pembangkang yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh, Takiyuddin memberitahu, pihaknya akan memberi maklumat terkini kepada Anwar.

Sabtu lalu, Pas meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas pada Muktamar Pas Pusat ke-61.