Isnin, 22 Jun 2015

PAS bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinisme

Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan parti Islam itu akan terus bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinisme.
 
Malah, beliau berkata Pakatan Rakyat masih ada selagi mana PKR belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perikatan itu.
 
"Kita kerja dengan semua parti yang tidak cauvinisme.Pakatan masih ada, PKR belum buat keputusan .
 
"Apa makna Pakatan?Pakatan sekurang-kurangnya ada dua bukan, kalau satu sahaja jadi Pakatan tak? soalnya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Bazar Ramadhan Jalan Raja Alang, Chow Kit sebentar tadi.
 
Katanya, Pakatan Rakyat tidak akan berkubur selagi mana beliau masih hidup.
 
"Saya masih boleh berjalan dan hidup lagi," katanya.
 
Abdul Hadi semalam menegaskan Pakatan pembangkang itu masih wujud dan belum berkubur biarpun rakan sekutunya DAP sudah mengisytiharkan perikatan itu tidak wujud lagi.
 
Bagaimanapun, bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari tampil menepis kenyataan itu dengan berkata Pakatan pembangkang tetap berpecah walaupun Abdul Hadi menyatakan kerjasama diantara PKR masih wujud serta belum berkubur. 
 
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berhubung tindakan Ahmad Awang untuk menyaman beliau kerana didakwa memfitnahnya sepanjang kempen pemilihan parti itu awal Jun, ini jawab Hadi:
 
"Saya tak kata dia calon mana-mana, saya tak keluar kenyataan sebegitu," katanya ringkas sebelum berlalu pergi meninggalkan pemberita.
 
Calon presiden PAS yang tewas, Ahmad Awang hari ini dilaporkan sedang mengkaji tindakan undang-undang ke atas pihak yang memfitnah beliau sepanjang kempen pemilihan baru-baru ini, termasuk presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Katanya, beliau tidak kesal kecundang dalam pemilihan itu kerana ia adat pertandingan namun fitnah yang dilemparkan kepadanya dan pihak lain menyebabkan perpecahan besar berlaku dalam PAS.
 
Menjelang pemilihan pada muktamar tahunan ke-61 parti itu di Kuala Selangor, Hadi dalam satu kenyataannya yang disebarkan melalui video mendakwa, pertandingan itu antara calon pilihan DAP dan calon pilihan PAS.
 
 

Tiada ulasan: