KUALA LUMPUR: Perhimpunan khas MIC yang dianjurkan oleh kumpulan yang
menentang Presiden Datuk Seri G. Palanivel pada Ahad meluluskan dua
resolusi termasuk mengisytiharkan presiden parti itu bukan lagi menjadi
ahli parti kaum India itu.
Sebanyak 2,758 pengerusi cawangan MIC membuat ketetapan itu semasa
perhimpunan bersama-sama dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. S.
Subramaniam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Resolusi pertama menyatakan: "Kami dengan ini membuat ketetapan bahawa
Artikel 91 Perlembagaan MIC jelas menyatakan antara lain, bahawa tiada
anggota parti yang boleh membawa hal parti ke mahkamah tanpa kebenaran
Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), sekiranya gagal, individu itu hilang
keahlian 'opso facto' serta merta".
Resolusi kedua menyatakan: "Kami dengan ini membuat ketetapan untuk
mengguna pakai arahan RoS (Pendaftar Pertubuhan) untuk menjalankan
pemilihan semula dan mengekalkan keputusan mahkamah bahawa Palanivel dan
empat yang lain yang memulakan saman itu atas kapasiti individu dan
bukan bagi pihak parti".
Resolusi itu dibacakan oleh Dr Subramaniam.
Hadir sama bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Naib Presiden
Datuk M. Saravanan, anggota CWC interim 2009-2013 yang diperakui RoS,
Datuk Seri S.K. Devamany, anggota CWC, P. Kamalanathan, Ketua Pemuda
parti C. Sivarraajh dan Ketua Wanita, M. Mohana.
Ditanya reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung
kenyataan Palanivel pada Sabtu, Dr Subramaniam berkata Najib selaku
Pengerusi Barisan Nasional (BN) mempunyai hak untuk memberi nasihat demi
kebaikan parti komponen.
Perdana Menteri pada Ahad menegur Palanivel kerana memutarbelitkan fakta dan mengheret orang lain ke dalam krisis parti itu.
Najib dalam Twitter beliau hari ini berkata beliau akan memanggil
Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, untuk memberi
penjelasan berhubung kenyataannya pada perjumpaan khas MIC dengan
pengerusi cawangan parti itu di PWTC Sabtu.
Berhubung isu pemilihan baharu, Dr Subramaniam berkata cadangan
Palanivel tidak mempunyai asas undang-undang apabila ia hanya boleh
dilaksanakan pada 2016, apabila tempoh CWC sekarang berakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan