Jumaat, 26 Jun 2015

Palanival bertegas masih presiden MIC

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri G Palanivel menegaskan bahawa beliau masih lagi presiden MIC, dan menolak dakwaan saingannya bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak lagi mengiktirafnya sebagai seorang ahli parti itu.

Menurut Bernama, Palanivel berkata beliau tidak menerima apa-apa surat daripada ROS mengenai status keahliannya.

"Saya tidak akan mengulas tentang berita ini dan saya akan tanganinya kemudian jika perlu," katanya  selepas mempengerusikan apa yang beliau sifatkan sebagai mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) hari ini.

Terdahulu hari ini, Datuk Seri Dr S Subramaniam mendakwa beliau telah menerima surat daripada ROS yang mengesahkan bahawa Palanivel tidak lagi menjadi ahli parti. Menurutnya, ROS juga mengiktirafnya sebagai pemangku presiden parti.

Bagaimanapun, Palanivel meragui kesahihan surat tersebut dan mentertawakan cadangan wartawan bahawa Subramaniam kini pemangku presiden.

"Dr Subramaniam... pemangku presiden? Bagaimana beliau boleh menjadi pemangku presiden sedangkan saya adalah presiden?," katanya.

Palanivel kemudiannya mendedahkan bahawa mesyuarat yang dipengerusikan beliau telah membuat tiga ketetapan, termasuk resolusi bahawa lima anggota MIC yang memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan ROS supaya pemilihan semula diadakan, masih menjadi anggota parti itu.

Lima orang ahli, termasuk Palanivel, gagal dalam usaha mereka untuk mencabar arahan ROS itu.

Kumpulan Subramaniam pula berhujah bahawa Palanivel dan empat yang lain, bukan lagi menjadi anggota MIC kerana membawa perkara parti ke mahkamah.

Perkara 19 Perlembagaan MIC menetapkan bahawa mana-mana anggota MIC yang berbuat demikian secara automatik tidak lagi menjadi ahli parti.


Tiada ulasan: