MALAYSIAKINI
"Jika nak menang, menanglah tetapi mesti cara 'jantan' dan bermaruah
bukannya dengan cara menipu," luah Setiausaha Agung Persekutuan Silat
Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang tidak
berpuas hati dengan keputusan berat sebelah ketua pengadil di Sukan SEA
ke-28.
Pesilat negara, Mohd Fauzi Khalid yang beraksi dalam acara Putra Kelas F
(70-75kg) gagal mara ke final selepas tewas kepada wakil Singapura,
Muhammad Nur Alfian Juma'en 0-5 pada aksi separuh akhir yang berlangsung
di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura hari ini.
Sebelum perlawanan berakhir, pesilat Malaysia mendahului peserta tuan
rumah dengan mata 4-1, namun keputusan rasmi tiba-tiba berubah kepada
5-0 yang memberi kemenangan kepada pesilat Singapura.
Megat Zulkarnain berkata Mohd Fauzi mendahului pesilat Singapura dengan
mata 4-1 hingga minit terakhir pertarungan, namun keputusan tiba-tiba
berubah satu saat sebelum perlawanan tamat.
"Pada saat terakhir perlawanan, pesilat negara jatuh apabila ditarik
(melalui gerakan tidak sah) dan ketua pengadil perlawanan berbincang
dengan wasit (juri) bagi mendapatkan pengesahan dan mereka mengambil
masa yang lama untuk membuat keputusan.
"Mengikut peraturan, jatuhan tersebut tidak dikira kerana video ulang
tayang jelas menunjukkan bahawa pesilat kita ditarik dan sepatutnya kita
menang perlawanan tersebut," katanya kepada pemberita.
Megat Zulkarnain berkata beliau telah meminta pengurus pasukan negara,
Osman Nok mengemukakan bantahan rasmi, walaupun sudah dapat menjangkakan
keputusan yang bakal diterima, kerana mahu mempertahankan hak pesilat
negara.
"Perkara ini sering berlaku apabila kedudukan 50-50, pasukan tuan rumah
akan menggunakan pengaruh mereka untuk meraih kemenangan dan secara
kebetulan empat pesilat kita bertemu pesilat Singapura hari ini,"
katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan