Sabtu, 20 Jun 2015

Mat Sabu dakwa pemikiran pemimpin baru dalam PAS bahaya

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini memberi amaran bahawa pemikiran pemimpin dalam parti Islam itu kini boleh membahayakan negara.
 
Mohamad Sabu dipetik sebuah portal berita sebagai berkata beliau bimbang PAS kini mula mengikut trend “bahaya” di mana fokus diberikan kepada menghukum mereka yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Islamik.
 
Kata Mohamad Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu, kecenderungan dalam amalan Islam hari ini bermula di Timur Tengah, dan PAS menyertai gerakan “takfiri” itu (umat Islam menuduh saudara Islam lain murtad) ketika berdepan dengan mereka yang tidak bersetuju dengan mereka.
 
“Kamu tidak bersetuju dengan kami, maka kamu tidak bersama kami. Kamu kafir, liberal, munafik.
 
“Ini berlaku di Syria, Iraq, Mesir, Somalia, Algeria dan Pakistan. Ia sangat bahaya dan pelajar yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah, membawanya pulang bersama mereka.
 
“Apa yang sedang berlaku berbahaya kepada parti dan pada masa depan, ia juga akan membahayakan negara,” katanya dipetik portal berita The Malaysian Insider.
 
Katanya, Malaysia akan berdepan dengan ancaman yang lebih besar jika cara pemikiran seumpama itu berterusan.
 
Jelas Mat Sabu, kesannya ialah beberapa pemimpin dan ahli PAS jadi lebih fokus terhadap sama ada seseorang itu berada di pihak mereka atau tidak, bukannya bergantung pada rekod kecemerlangan seseorang dalam berkhidmat kepada parti.
 
“Apa yang mereka bincang hanyalah sama ada Abang Mat berada di pihak mereka atau tidak. Mereka tidak peduli selama ini kamu berpenat lelah untuk parti dan hanya balik rumah beberapa hari saja dalam sebulan.
 
“Mereka lihat Hanipa (peguam Mohamed Hanipa Maidin) dan label dia liberal dan kata dia mesti ditolak. Tidak peduli berapa hebat dia berbahas di Dewan Rakyat atau mahkamah, mempertahankan rakyat. Kerjanya tidak ada nilai kerana dia dilabel liberal,” katanya.
 
“Inilah aliran pemikiran dunia Islam hari ini... dan PAS pun sedang berdepan penyakit ini,” kata Mat Sabu.
 
Beliau dan Hanipa adalah antara bekas pemimpin parti yang dikatakan progresif kerana pendirian mereka yang lebih terbuka terhadap bukan Islam dan mereka percaya perjanjian persefahaman di bawah Pakatan Rakyat (PR) yang kini tidak berfungsi lagi, sepatutnya dihormati.
 
Mereka juga bersifat kritis terhadap kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan beliau sering mengingkari keputusan sebulat suara yang dibuat kepimpinan PR berhubung beberapa isu.
 
Mat Sabu, ahli PAS selama 37 tahun dan pernah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal di bawah tiket parti itu berkata, patah hatinya melihat PAS berubah hala tuju, walaupun beliau tidak berkata akan keluar parti.
 
Selain itu, Mat Sabu turut mendakwa golongan ulama yang menerajui PAS kini kelihatan lemah dalam mengendalikan tadbir urut kerajaan yang baik.
 
“Tadbir urus kerajaan yang baik, memerangi rasuah, menepati masa, memastikan bandar kita bersih, semua itu Islamik. Tetapi mereka yang kononnya ulama kelihatan lemah dalam mengendalikan perkara seumpama itu.
 
“Nilai dan amalan itu bukan keutamaan pemimpin PAS sekarang. Semua itu menggambarkan cara pemikiran mereka,” katanya.
 
Mengulas mengenai parti baru bagi menggantikan PAS, Mat Sabu berkata masih terlalu awal untuk bercakap lebih banyak mengenai idea itu.
 
“Kita perlu berbincang lagi sama ada kita akan perlukan parti baru atau kita boleh cari cara untuk memulihkan ahli PAS... baik pulih semuanya.
 
“Walau apa pun, parti itu perlu berasaskan Islam kerana hanya dengan itu kita boleh menarik umat Islam untuk menyokongnya,” katanya, sambil menambah, parti dengan asas Islam tidak akan ditolak bukan Islam.
 
 

Tiada ulasan: