Khamis, 4 Jun 2015

Mahathir-Najib bersemuka esok?

MALAYSIAKINI


 


Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak akan tampil bersemuka dengan pengkritiknya Tun Dr Mahathir Mohamad?

Pada hari Selasa, sebuah NGO - SukaGuam - mengumumkan ia menganjurkan satu sesi dialog selama dua jam antara Najib dengan NGO dan kumpulan masyarakat sivil, esok

Pengerusi SukaGuam Datuk Khairul Anwar Rahmat (foto) memberitahu pemberita bahawa Najib telah mengesahkan untuk menghadiri sesi soal jawab itu.

Khairul, yang berjanji bahawa peserta boleh menyoal Najib mengenai semua isu seperti 1MDB dan kekayaan peribadinya, berkata SukaGuam juga akan menjemput Dr Mahathir.

"Ini adalah satu forum terbuka. Jika Dr Mahathir datang, kami akan menyambutnya. Saya akan menjemputnya jika beliau belum menerima jemputan," katanya.

Apabila disoal mengenai perkara itu semalam, Dr Mahathir berkata: "Saya tak tahu, saya tak dijemput."

Bagaimanapun, seorang pembantu kepada bekas perdana menteri itu memberitahu Malaysiakini bahawa "besar kemungkinan" Dr Mahathir menghadiri sesi dialog itu.

Malah Mahathir pernah bersetuju untuk mengadakan debat awam dengan Najib, tetapi perdana menteri tidak menjawab, sebaliknya lebih suka menangkis kritikan bekas perdana menteri itu melalui blognya.

Mahathir telah berulang kali mendesak Najib meletak jawatan, dengan memberi amaran bahawa kehadiran Najib akan menyebabkan Umno dan BN kalah dalam pilihan raya akan datang.

Najib pula telah menegaskan bahawa ini zaman beliau sebagai perdana menteri dan akan terus berjuang.

"Takkan saya kena turun kerana kehendak seorang," kata ketika berucap di majlis pemimpin bersama rakyat #sarawakfornajib di Kuching hari ini.


Tiada ulasan: