KUALA TERENGGANU – Ketegasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam menyatakan pendirian terhadap perjuangan Pas dicemburui rakan-rakan pakatan sehingga beliau menjadi mangsa pihak tertentu yang cuba menjatuhkannya sebagai pemimpin utama parti itu.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, pemimpin DAP terutama Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang banyak menyerang Abdul Hadi sejak kebelakangan ini mungkin kerana pemimpin Pas itu sukar digugat.

Sehubungan itu, serangan demi serangan dibuat bagi mengikis keyakinan ahli terhadap kredibiliti Abdul Hadi sebagai presiden, selain cuba mempengaruhi ahli supaya tidak memberi sokongan menjelang pemilihan Pas, Jun ini.

“Lim Guan Eng tidak mampu pengaruhi Pas untuk mengikut segala kehendak beliau walaupun sudah banyak perkara dibuat. Ketegasan Datuk Seri dicemburui dan itu sebenarnya menunjukkan bahawa Pas penentu kepada (hala tuju) PR.

“Apabila presiden tidak digugat, banyak terhalang kehendak mereka,” katanya.

Mengulas tuduhan Guan Eng bahawa Abdul Hadi mahu berbaik-baik dengan Umno, beliau menjelaskan bahawa jawapan balas Hadi terhadap dakwaan itu dilihat sangat berhemah.

Bagaimanapun katanya, apa yang dilakukan pemimpin DAP itu tidak wajar, apatah lagi sebagai pemimpin dihormati, Guan Eng tidak sepatutnya bersikap campur tangan dalam pemilihan parti lain.

Tegasnya, pemilihan Pas tidak memerlukan campur tangan mana-mana pihak di luar parti itu, sebagaimana Pas juga tidak mencampuri urusan parti lain walaupun rakan PR sendiri.

Sementara itu, Azman percaya serangan terhadap Abdul Hadi akan berterusan selagi pemilihan belum berlangsung.

Bagaimanapun, beliau menaruh keyakinan bahawa serangan yang berlaku itu tidak sesekali mengikis keyakinan ahli-ahli atau perwakilan Pas untuk memberi sokongan padu terhadap Abdul Hadi.

“Saya tidak terlalu yakin tetapi saya rasa insya-ALLAH, beliau masih akan menang dalam pemilihan akan datang,” katanya.