KUANTAN – Sebanyak 466 kompaun dengan nilai RM 233,000 dikeluarkan terhadap pemilik yang membiarkan  kediaman dan premis mereka menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes di seluruh negeri.

Manakala  321 Notis Seksyen 8  dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, Zainal Ariffin berkata, dalam tempoh Januari hingga 13 Jun tahun ini, jabatan kesihatan telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan kes demam denggi dengan melakukan  semburan kabus ke atas 702,837 premis.

Menurutnya,  pemeriksaan pembiakan aedes turut dilakukan ke atas 204,852 premis dan daripada jumlah itu,  sebanyak 70,152 premis dibubuh abate bagi pemusnahan jentik-jentik.

“Setakat ini berdasarkan rekod, sebanyak 203 aktiviti gotong-royong dicatatkan dengan kehadiran seramai 20,240 penduduk,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr Zainal Ariffin berkata, di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000) penduduk atau penghuni rumah membiarkan jentik-jentik aedes di premis mereka jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, walaupun pelbagai tindakan diambil bagi menangani wabak itu, kes deman denggi di negeri ini terus menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan jumlah 1,134 kes dalam tempoh Januari sehingga 13 Jun lalu.

“Malah dalam tempoh 1 hingga 13 Jun lalu sahaja sebanyak 93 kes dicatatkan di seluruh negeri bagaimanapun jumlah kematian masih kekal lima orang.

Secara keseluruhannya, ia meningkat sebanyak 617 kes atau 119 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2014 dengan 517 kes,” katanya.

Beliau berkata, daerah Kuantan terus kekal catat kes tertinggi kes demam denggi tertinggi,  713 kes, Temerloh 150 kes, Jerantut 98 kes, Maran 50 kes, Raub 39 kes, Bera 35 kes,  Lipis 14 kes,  Bentong 12 kes, Rompin 12  kes, Pekan 10 kes dan Cameron Highlands 1 kes.

“Kini terdapat enam wabak aktif di Pahang melibatkan  dua daerah iaitu lokaliti wabak terkawal di Taman Tualang Indah, Temerloh (9 kes), Taman Seri Kemuning, Temerloh (3 kes ), Taman Irama IM 1, Kuantan (4 kes), Taman Tan Chong, Kuantan (3 kes), Taman Fairmount, Kuantan (4 kes) dan Taman Balok Makmur Fasa 2 (2 kes),” katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu bertanggungjawab memastikan kawasan persekitaran rumah masing (dalam dan luar) dan tempat-tempat awam sentiasa  bersih dan bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

”Bagi mereka yang mengalami demam  kuat secara tiba-tiba disertai sakit kepala atau sakit badan dan sendi juga diminta mendapat rawatan segera ke klinik atau hospital,” katanya.