MALAYSIAKINI
Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz diingatkan supaya
menghormati wanita dan tidak menjadikan kaum itu sebagai objek sindiran.
Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang Kasthuri Patto berkata,
merujuk kepada kenyataan yang dibuat Nik Abduh semalam, ia dilihat bukan
sahaja menghina wanita sebagai objek ejekan tetapi berbaur seksis.
"Apakah motif sebenar Ketua Dewan Pemuda PAS dalam ejekannya selain
menghina perempuan dan menganggapnya sebagai satu objek sindiran, perli
dan ejekan?
"Agama Islam mengajar wanita supaya dihormati dan dilindungi. Janganlah
pula Ketua Pemuda Dewan PAS termakan dengan umpan sesetengah pihak bagi
memuaskan nafsu jahil mereka, bak kata pepatah habis cupak dari
pelelehan.
"Kenyataan berbaur seksis Nik Abduh terhadap wanita di negara ini
menunjukkan kekolotan minda seseorang yang sepatutnya dilihat sebagai
pembawa obor generasi muda partinya," kata Kasthuri dalam kenyataan
media hari ini.
Semalam, Nik Abduh memperkecilkan DAP yang digambarkan tidak cukup jantan untuk berpisah dengan parti Islam itu.
Mengumpamakan seperti hubungan suami isteri, ketua pemuda baru PAS itu berkata DAP seperti tidak yakin hendak "melafazkan cerai" terhadap PAS.
Selain itu, Ahli Parlimen Batu Kawan berkenaan turut melahirkan kekecewa
apabila kenyataan tersebut dikeluarkan oleh seorang ahli politik
daripada PAS dan bukannya BN.
Jelas Kasthuri, kenyataan itu dilihat mempunyai sangkaan buruk terhadap
kaum wanita dan menunjukkan pemikrian Ahli Parlimen Pasir Mas itu yang
"kuno" serta "low-standrad" kerana mengheret keperibadian wanita dalam
isu politik.
"Mungkin Nik Abduh sudah lupa diri untuk satu tempoh yang agak lama
sehingga mempertuhan ideologi patriarki dan dengan bongkak mengeluarkan
kenyataan bahawa PAS bersifat jantan dan DAP bersifat perempuan walaupun
perbandingan tersebut tidak masuk akal langsung," katanya lagi.
Justeru, Kasthuri mengingatkan bahawa seorang pemimpin tidak sewajarnya
mengeluarkan kenyataan tidak matang seperti itu memandangkan pada
pilihan raya umum yang lalu, pengundi wanita lebih ramai iaitu 6,664,474
(50.21 peratus) berbanding 6,603,528 (49.77 peratus) lelaki.
"Ini bererti peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya umum ke-13
menunjukkan lebih ramai pengundi wanita telah keluar membuang undi
berbanding dengan lelaki dan kenyataannya itu telah mengkhianati
kepercayaan semua pengundinya.
"Bukan sahaja martabat wanita digadaikan dan diperlekehkan sebegini.
Sebagai seorang anak muda, pemuda-pemudi lain juga berasa tersinggung
dan malu dengan kenyataan seorang dari 'zaman batu' tetapi bertopengkan
pemuda yang seakan berdarah pahlawan," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan