PUTRAJAYA: Jumlah kematian akibat denggi di seluruh negara bagi enam
bulan pertama tahun ini meningkat 100 peratus berbanding tempoh sama
tahun lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham
Abdullah.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga 6 Jun lalu, sebanyak 144
kematian direkodkan berbanding 72 kes untuk tempoh sama pada 2014.
"Komplikasi seperti kegagalan fungsi organ hati dan buah pinggang serta
'shock syndrome' lebih kerap berlaku kepada pesakit yang dijangkiti
demam denggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata, kes demam denggi
di seluruh negara pada minggu ke-22 iaitu dari 31 Mei hingga 6 Jun
meningkat lapan peratus jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut 2,201 kes dilaporkan berbanding hanya 2,042 kes pada minggu ke-21.
Beliau berkata, tujuh negeri yang menunjukkan peningkatan kes adalah
Selangor iaitu 114 kes; Melaka (46 kes); Pahang (27 kes); Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (24 kes); Negeri Sembilan (tujuh
kes); Kedah (lima kes), manakala Johor (lima kes).
Tambahnya, jumlah lokaliti wabak dan kawasan panas turut meningkat
daripada 725 pada minggu sebelumnya kepada 793 pada minggu ke-22 iaitu
peningkatan sebanyak sembilan peratus.
Sementara itu, sebanyak 131 tapak binaan di Selangor diperiksa dalam
Ops Tempur Binaan Aedes yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan
dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi lain sejak 10 Feb
lalu hingga 7 Jun, katanya.
Dr Noor Hisham berkata, hasil pemeriksaan mendapati 113 tapak binaan
mempunyai pembiakan nyamuk Aedes, manakala 94 lagi telah diberi perintah
penutupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan