SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap jika ada gabungan Pas dengan parti lain selepas ini dapat bertahan lebih lama berbanding Barisan Alternatif dan PR.

“Kerjasama politik DAP dengan Pas akhirnya tidak dapat bertahan jua buat kali ke keduanya. Dari sudut positifnya, hubungan Pas-DAP kali ini berlangsung lebih lama berbanding di zaman di Barisan Alternatif selepas berehat selama 7 tahun (2001-2008).

“Jika ada kali ketiga, diharap kerjasama ini akan lebih panjang berbanding yang sebelumnya...Pas kekal dengan kerjasama bersama PKR yang tidak pernah putus sejak penubuhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiada siapa tahu apa yang berlaku akan datang namun mungkin kekalahan hari ini adalah rahmat di masa depan.

“Pas tetap kesal dengan serangan berterusan DAP terhadap presiden parti dan fitnah bahawa Pas mahu mengadakan kerjasama politik dengan Umno. Lebih baik bagi DAP untuk menumpukan serangan pada Umno yang berkuasa di kerajaan persekutuan.

“Tiada siapa yang dapat mengetahui dengan pasti apa yang bakal berlaku pada masa depan. Kekalahan hari ini mungkin adalah rahmat di masa depan, kemenangan hari ini mungkin ialah musibah yang tidak diundang.
 
“Siapa yang menjangka kemenangan besar Umno di 2004 merupakan pintu kepada kehilangan undi popularnya hari ini? Biarlah sejarah menilainya,” katanya

Katanya, Pas akan terus istiqamah dan menerima qada dan qadar ALLAH dengan hati terbuka manakala prinsip serta dasar parti akan terus menjadi kompas perjuangan.