shahbudindotcom
Beban
cukai GST masih menjadi bualan tidak puas hati di kalangan rakyat di
negara ini. Tidak kira di bandar atau kampung-kampung, rata-rata masih
ramai yang bersungut, bukan saja mengenai lebih banyak wang perlu
dibelanjakan berbanding sebelumnya tetapi juga kerana cukai tersebut
turut menyebabkan kenaikan harga barang-barang.
Ada
yang merungut perbelanjaan bulanan mereka sudah meningkat berbanding
sebelum GST dilaksanakan, sementara yang lain memendam rasa kerana
hampir semua barang sudah menaik harganya. Jika dikira dengan GST yang
terpaksa dibayar, pengguna sudah dibebankan dengan dua kali kenaikan
sebenarnya.
Selain
kerajaan mengatakan cukai itu memerlukan sedikit masa untuk rakyat
menjadi biasa dengannya, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan
seringkali menyalahkan ketamakan peniaga sebagai punca berlakunya
kenaikan harga barang-barang itu.
Katanya,
dengan perlaksanaan GST pada kadar 6 peratus berbanding SST yang
biasanya antara 10 hingga 16 peratus, sepatutnya harga barang menjadi
lebih murah berbanding sebelumnya.
Namun,
menurut Ahmad Maslan, sikap peniaga yang tamak untuk mengaut keuntungan
berlebihan menjadikan harga barangan terus meningkat kerana mereka
mencampurkan cukai SST sedia ada dengan GST yang baru diperkenalkan.
Tetapi
jika benar ada peniaga yang bersikap demikian, ramai juga yang
menyalahkan kerajaan kerana mempunyai aspek penguatkuasaan yang lemah
dalam melaksanakan GST sehingga tidak mampu berbuat apa-apa terhadapnya.
Bagi
mereka, kerajaan hanya melihat GST sebagai cara paling mudah untuk
menambahkan pendapatan negara tanpa memikirkan dengan serius nasib
rakyat sebagai pengguna yang mungkin terbeban kerana manipulasinya.
Kata
mereka, sebelum menggantikan SST dengan GST, kerajaan sepatutnya mesti
bersedia dari segi penguatkuasaan yang lebih cekap bagi memastikan
peniaga tidak mudah memanipulasikan harga barangan.
Setelah
lebih dua bulan cukai GST ini dilaksanakan, semua kesalahan mengenai
kenaikan harga barang hanya ditujukan kepada peniaga dan belum pernah
lagi kerajaan mengakui mereka ada kesilapan atau kelemahan dalam
perlaksanaannya.
Soalnya benarkah kerajaan tidak bersalah?
Seorang rakan menceritakan pengalamannya ketika didatangi oleh pegawai kastam sebelum perlaksanaan cukai GST pada 1 April lalu.
Katanya,
pegawai kastam itu telah memintanya menaikkan sedikit harga makanan
yang dijualnya berbanding sebelumnya bagi mengurangkan beban operasi dan
menstabilkan keuntungan apabila GST dilaksanakan.
Menurut
peniaga itu, beliau keliru dengan saranan menaikkan harga barangan itu
kerana ia seperti dengan sengaja meletakkan dua beban kepada pengguna
iaitu kenaikan harga barangan dan cukai GST sebanyak 6 peratus.
Yang
menimbulkan rasa musykil peniaga tersebut ialah apakah memang menjadi
amalan pegawai kastam menyarankan peniaga menaikkan harga barangan itu
dan apakah tujuannya berbuat demikian?
Timbul
juga persoalan, apakah perbuatan meminta peniaga menaikkan harga
barangan itu merupakan dasar dan dalam pengetahuan kerajaan atau hanya
merupakan kes terpencil saja?
Selebihnya
pula, katanya, berapa peratuskah peniaga yang tidak menaikkan harga
barangan mereka apabila menerima cadangan daripada pegawai kastam itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan