Ahad, 21 Jun 2015

Golongan progresif diminta kekal dalam PAS – Tuan Ibrahim

THE RAKYAT POST


TUAN IBRAHIM TUAN MAN 2
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata seluruh pihak harus menerima keputusan yang telah dibuat dalam Muktamar di Kuala Selangor pada awal bulan ini. - Foto TRP/Azrol Ali



KUALA LUMPUR:  Pimpinan baru PAS meminta golongan progresif  yang tewas dalam pemilihan parti tersebur terus kekal meneruskan perjuangan mereka dalam parti berkenaan sekalipun terdapat indikator yang mengatakan mereka akan memilih wadah baru selepas ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata seluruh pihak harus menerima keputusan yang telah dibuat dalam Muktamar di Kuala Selangor pada awal bulan ini.

Menurutnya, mereka harus menerima keputusan berkenaan dengan hati penuh terbuka atas apa yang dimuktamadkan dalam Muktamar.

“Oleh itu saya berharap mereka juga terus bekerja keras untuk memperkasakan parti pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyatan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebelum ini mengatakan beliau bersama-sama beberapa tokoh progresif dalam PAS yang ditolak dalam Muktamar akan meninjau dan melihat perkembangan, sokongan dan keperluan menubuhkan parti baru.

Jelas Mat Sabu, keputusan tersebut akan bergantung kepada penilaian terhadap maklum balas dan sokongan rakyat nanti dan pilihan lain yang ada selain menubuhkan parti baru ialah sertai mana-mana parti politik atau kekal dalam PAS atau menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tambah Tuan Ibrahim, PAS tidak menghalang sekiranya ahli-ahli parti tersebut untuk mengadakan majlis mengenang jasa ke atas tokoh yang tewas sebelum ini.

Jelasnya, PAS sentiasa mengenang jasa semua pihak tetapi ahli-ahli parti masih lagi terikat dengan dasar dan peraturan parti.

“Sekiranya mereka nak buat majlis kenang jasa tersebut kita tidak menghalang.

“Oleh itu saya meminta ahli-ahli supaya jangan sampai terkeluar daripada peraturan parti,” ujarnya.

Tegas Tuan Ibrahim lagi, Majlis Syura Ulama PAS akan tetap membincangkan usul yang memutuskan hubungan dengan DAP seperti yang dibawa oleh Dewan Ulama pada Muktamar lalu.

Katanya, usul tersebut perlu dibawa ke Majlis Syura untuk diteliti sebelum keputusan mengenainya dapat diambil.

“Usul tersebut tidak ada kena mengena dengan DAP sekalipun parti berkenaan mengatakan Pakatan Rakyat telahpun berkubur.

“Majlis Syura Ulama akan bemesyuarat pada hari ini bagi menentukan saf kepimpinannya yang baru dan akan bermesyuarat sekali lagi untuk membincangkan perkara tersebut.

“Keputusan usul tersebut dijangkakan akan dapat diketahui dalam bulan ini juga,” tegasnya.

Tiada ulasan: