[ULASAN] Saf
kepimpinan ulama PAS benar-benar menghadapi ujian getir ketika ini.
Bukan sahaja mereka perlu menangani gelagat DAP yang bertindak lebih
daripada seteru politik, tetapi golongan profesional yang ditumpaskan
awal bulan ini.
Ketika Datuk Seri Haji Abdul Hadi sibuk mengatur pasukan pengurusan dan
kepimpinan PAS, golongan yang mengaku masih menjadi ahli PAS ini sibuk
pula membina persepsi yang agak negatif terhadap parti itu sendiri.
Ada di kalangan tokoh-tokoh golongan profesional itu cuba menyindir dan
membayangkan betapa lemahnya kepimpinan beliau hingga perlu ada parti
baru ditubuhkan menggantikan PAS.
Selain Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) kini menggembar-gemburkan
khabar ia akan ‘bersalin kulit’ menjadi sebuah parti politik, ada juga
pemimpin PAS sendiri yang memberi gambaran suram tentang masa depan PAS.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, misalnya berkata,
pembentukan parti baru akan diusahakan jika kepimpinan PAS yang dipilih
pada Muktamar PAS kali-61 lalu tidak dapat berfungsi dengan baik.
Secara langsung atau tidak kenyataan ini memberi gambaran yang kurang
mengujakan terhadap mutu kepimpinan PAS yang umumnya ditunjangi pemimpin
dari golongan ulama.
Ia memberi isyarat seolah-olah keberangkalian kepimpinan ulama yang
baru dipilih oleh perwakilan PAS akan gagal, adalah agak tinggi; lantas
perlu dipersiap parti pengganti. Jika ini bukan kritik kurang membina
apakah namanya?
Mungkin Khalid tidak berniat mencemoh wibawa ulama. Namun dalam suasana
peralihan kepimpinan PAS, kenyataan yang bersifat ‘gergaji dua
mata’begitu pasti tidak membantu pengukuhan politik PAS.
“Kami masih mempunyai peranan untuk menentukan bahawa Pas akan terus memainkan peranan yang seperti mana sepatutnya.
"Jika tidak, kami akan ke hadapan. Penubuhan parti baharu ini hanya
akan terlaksana bergantung kepada keupayaan pemimpin baharu," katanya.
Beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pusat berkata, PAS perlu
memainkan peranan menegakkan Islam, menyatupadukan kaum dan memenuhi
keperluan rakyat jika mahumengelak parti baru ‘ala-PAS’ditubuhkan.
"Kami akan memberikan masa kepada mereka melihat sejauh mana peranan
yang dimainkan pemimpin baru.
Tetapi tiada garis masa tempoh itu. Jika
mereka gagal, kami akan terus ke hadapan," katanya.
Sebagai ahli politik, cakap Khalid dilihat berlapik. Bagaimanapun
seorang lagi profesional yang gagal mempertahankan kedudukan dalam
jawatankuasa Pusat, Hanipa Maidin segera melontarkan pandangan supaya
PAS keluar Pakatan Rakyat.
Jika tidak, hujahnya, PAS akan dilihat mahu berpaut pada kuasa politik
yang diraih bersama Pakatan Rakyat walaupun pada dasarnya Dewan Ulama
sudah mengesyorkan supaya hubungan politik dengan DAP diputuskan.
Seorang lagi tokoh profesional yang nampaknya masih belum dapat
menyembunyikan kekecewaan tumpas dalam pemilihan lalu ialah bekas
Timbalan Presiden, Mat Sabu.
Dalam tembual bersama sebuah portal berita, beliau meramalkan bahawa
PAS tidak akan mendapat kembali sokongan orang bukan Islam berikutan
tindakan ‘fasakh’ politik dengan DAP.
Satu faktor yang menyokong hujahnya, kata Mat Sabu, ialah hakikat
bahawa PAS kini dipimpin oleh tokoh dari Pantai Timur yang jarang
bersemuka dengan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan
agama.
Mat Sabu berkata, pemimpin Pantai Timur dari Kelantan dan Terengganu
mungkin berfikir mereka tidak memerlukan sokongan bukan Islam kerana
mereka hanya berinteraksi dengan orang Melayu setiap hari.
"Mereka tidak akan merasa seperti apa yang kita lakukan di sini di
Pulau Pinang dan Selangor. Pemimpin Kelantan juga berkata adalah bagus
melakukannya tanpa PR kerana mereka membuat penilaian berdasarkan lokasi
mereka sendiri.
"Mereka boleh menang di kawasan mereka tetapi bagaimana pula Selangor,
Melaka dan Johor? Di Kedah, ada juga kawasan Parlimen di mana undi bukan
Islam membentuk kira-kira 40 peratus," katanya.
Mat Sabu berkata pemimpin PAS tidak realistik jika mereka fikir parti boleh bergerak sendirian dalam pilihan raya umum.
"Dalam pilihan raya, anda mesti mempunyai gabungan, melainkan jika anda
hanya mahu menjadi parti serantau di Kelantan dan Terengganu.Ini semua
sudah terkebelakang," katanya.
Bagaimanapun dalam ucapan penggulungannya di Muktamar PAS ke-61 tempoh
hari, Haji Hadi menggariskan keperluan untuk mencergaskan Dewan Himpunan
Penyokong PAS (DHPP) dari kalangan bukan Melayu.
Selain mahu menjadikan sistem jaringan usrah di peringkat Ranting,
Kawasan dan Negeri sebagai tulang belakang pengurusan PAS, mencergaskan
DHPP dilihat wawasan untuk memastikan sokongan bukan Melayu berkekalan.
Belum sebulan golongan ulama mengambil alih kepimpinan PAS, mereka kini
disindir, cemuh dan gertak oleh kalangan ahli dan bekas pemimpin parti
itu sendiri.
Soalnya, apa sudah jadi pada iltizam dan tarbiyah yang
pemimpin-pemimpin profesional PAS anuti selama ini? Tindak tanduk mereka
‘bak api dalam sekam’ yang boleh membakar kewibawaan dan keutuhan PAS.
Benarkah dakwaan bahawa kepimpinan ulama sudah tersasar dari strategi mahu menumbangkan Umno-BN?
Atau, adakah golongan profesional kini terlalu taksub dengan ‘silat
politik’ rakan-rakan Pakatan Rakyat lain sehingga merumuskan ulama tidak
bijak memimpin?
Kemana pergi rasa kasih sayang pada jemaah? Adakah perselisihan
pandangan dengan golongan ulama hari ini begitu meruncing hingga soal
apa akan jadi pada jemaah PAS sudah tidak lagi penting bagi mereka.
Atau, adakah luka kecundang dalam pemilihan lalu terlalu pedih sehingga
mereka sudah hilang pedoman dan alpa bahawa kenyataan-kenyataan itu
hanya akan melemahkan lagi PAS?
Mungkin benar persoalan yang dilontarkan oleh ulama sebelum muktamar
tempoh hari bahawa yang jadi isu politik terkini bagi PAS ialah wala’
atau kesetiaan golongan tertentu yang terkesima dengan strategi PKR dan
DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan