Ahad, 21 Jun 2015

Eskalator tiba-tiba mengundur, pengunjung jatuh bertimpa

THE RAKYAT POST

 

jatuh bertimpa
Keadaan pengunjung yang jatuh menimpa satu sama lain apabila eskalator tiba-tiba mengundur. Kejadian dikatakan berlaku di Setia City Mall. - Foto Facebook Video Viral



KUALA LUMPUR - Video pengunjung sebuah pusat beli belah jatuh dari eskalator seperti domino menjadi viral, baru-baru ini.

 

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dipercayai pengunjung terjatuh selepas pergerakan eskalator itu tiba-tiba sahaja mengundur menyebabkan 20 orang terjatuh atas satu sama lain.

Rakaman sepanjang dua minit itu menunjukkan pengunjung termasuk seorang wanita yang mendukung anak kecil menaiki eskalator tetapi tidak lama selepas itu pergerakan eskalator mengundur menyebabkan keadaan menjadi huru-hara.

Kejadian dikatakan berlaku di Setia City Mall, Shah Alam.

Video yang dimuat naik oleh satu kumpulan Facebook Video Viral, tersebar dan dilihat 62,000 kali dan menerima 700 likes serta dikongsi sebanyak 1,600 sejak lebih dua jam lalu.

Netizen terperanjat dengan kemalangan yang berlaku dan ada yang menggesa supaya pengurusan Setia City Mall untuk bertanggungjawab.

“Confirm la tu Setia City Mall.. Mmg tulisan, signage semua betul scm. Saman la SP Setia tu”, kata seorang pengguna Facebook, Nur Nazuha.

“Patut sue je, diorang tu hari2 ntah brape billion make profit, escalator xleh nk maintain elok2 smpai xfunction well, ni menyebabkan nyawa orang, bukan main2, escalator kat SETIA CITY MALL kot,” komen Ameen Momoiro pula.

Berdasarkan komen yang diberikan, ada netizen yang mendakwa ia berlaku disebabkan lebih muatan yang menyebabkan rantai eskalator terputus.

“Rantai escalator tu putus, mohon pihak tecnicion (juruteknik) buat servis sepenuhnye pd premis yg ade escalator, ” kata seorang lagi, Rony Faudzi.

Seorang pengguna Facebook Faiz Craig Arzhari turut berkongsi pengalaman yang sama dan berkata ia berlaku disebabkan muatan lebih.
Beberapa pengguna Facebook yang lain meluahkan rasa simpati atas kejadian kerana seorang daripada pengunjung itu hamil.

“Perempuan pregnant tgh sarat pun ade..hopefully ok,” kata Fazrina Hazirah Ab Aziz.

Kejadian itu turut dilaporkan oleh media internet Singapura, Seen.

Tiada ulasan: