ANTARA bentuk kehebatan al-Quran adalah susunan surah dan ayatnya. ALLAH SWT dengan ilmu dan hikmah-Nya menetapkan aturan ayat dan surah, daripada awal sehingga hujung mushaf, Bagi pembaca melalui proses yang akan membawanya kepada pembentukan minda dan jiwa Qurani.

Pergaulan manusia bersama al-Quran bermula dengan Surah Al-Fatihah sebagai pembuka kitab, lantas pembuka hati sanubari kita sendiri, untuk persediaan bagi kita mengenal seluruh isi al-Quran yang seterusnya. Disusuli dengan Surah Al-Baqarah bagi menjelaskan tanggungjawab Muslimin di atas muka bumi.

Surah Ali-’Imran menjelaskan agar berlaku teguh di atas jalan yang lurus. Setelah teguh terisi keperibadian Muslim, Surah An-Nisaa’ menyeru untuk melindungi wanita dan orang yang lemah dengan prinsip keadilan. Begitulah seterusnya setiap susunan surah akan ada tujuan khusus, berkait sambung menyambung sehinggalah ditamatkan dengan Surah An-Nas (manusia), barulah ciri-ciri kemanusiaan Qurani terhasil melalui proses yang terkandung dalam 114 surah al-Quran.

Bagi memaksimumkan interaksi 114 surah yang ada, pakar tafsir dari Jordan, Sheikh Solah Abdul Fatah Al-Khalidy,  menyusun langkah dan fasa bagi bergaul dengan al-Quran. Pergaulan di sini adalah pergaulan jiwa, maka persiapan yang dilakukan adalah persiapan jiwa, bagi mencerap situasi Qurani yang sedang berlaku.

Langkah pertama, seseorang mesti memberi tumpuan terhadap suasana imani dengan menghayati keadaan imani yang akan menghantarnya kepada pemahaman dan perhatian. Seseorang seharusnya sedar dia sedang berinteraksi dengan kitab suci yang diturunkan oleh ALLAH, pemilik langit dan bumi, Tuhan yang menciptakan jiwa manusia yang satu masa nanti akan berdirinya di depan Tuhannya.

Langkah kedua, ialah dengan menumpukan perhatian ketika membaca ayat al-Quran dengan membuka diri menerima makna, hakikat, ketetapan dan isyarat daripadanya.

Langkah ketiga, menelaah tafsir ringkas untuk mengetahui latar belakang, serta tujuan ayat-ayat tertentu bagi membetulkan kefahaman, membaiki kekurangan dan menambah sisi tertentu daripada ilmuwan utama, yang tidak dapat dicapai dengan pemerhatian sendiri.

Langkah terakhir ialah dengan menelaah tafsir panjang yang bertujuan memperluas pembahasan, topik dan pembentangan pengetahuan yang pelbagai. Pendedahan yang sebegini dapat memperkaya maklumat dan bermacam-macam pengetahuan yang dikaitkan dengan pembahasan al-Quran. Untuk itu pembaca perlu membacanya dengan naluri yang kritis dan peka.

Sheikh Solah Abdul Fattah berkata, jika pembaca mencampur adukkan fasa ini dan mengacau bilaukan susunan langkah ini, pembaca akan bingung dan terhalang daripada anugerah al-Quran Al-Karim.

Pergaulan hati dengan Quran

Tidak ada jalan pintas bagi memahami kitab ALLAH, namun ada jalan terdekat yang dibukakan untuk kita. Jalan itu adalah seperti yang dikatakan Imam Hassan Al-Banna ialah 'hatimu'.

"Hatimu," kata Imam Hassan Al-Banna, kerana hati mukmin tidak syak lagi adalah sebaik tafsir bagi kitab ALLAH. Dan jalan pemahaman paling dekat; hendaknya pembaca membaca dengan penuh perhatian dan khusyuk, memohon petunjuk dan kebenaran, menumpukan pemikirannya apabila membaca. Dan di samping itu hendaklah dia mengetahui sejarah nabi, memerhatikan sebabnya turunnya wahyu, dan hubungannya dengan bahagian sejarah ini.

Dengan demikian dia akan mendapat bantuan yang besar bagi pemahaman yang sahih lagi tepat. Dan setelah itu dia membaca kitab tafsir lain, maka itu hanyalah untuk mengetahui erti suatu lafaz yang sukar baginya. Atau susunan ayat yang tidak diketahui ertinya, atau untuk menambah pengetahuan yang membantunya dalam memahami kitab ALLAH dengan benar. Jadi dengan demikian ia adalah pembantu memahami  dan pemahaman selepas itu adalah pancaran yang cahayanya menembus ke dalam lubuk hati." (Mukaddimah Tafsir Al-Quran, Imam Hassan Al-Banna)

Bersyukur dengan Quran

Pesan salah seorang pembentang Seminar Nikmatnya Menghafal Dan Bertadabbur Quran pada 14 Jun lepas, Ustaz Deden, sudah menjadi fitrah manusia yang bersih terpesona kepada sesuatu yang indah dan menyentuh hati. Al-Quran adalah firman ALLAH Yang Maha Agung, Maha Suci, Maha Indah dan Maha Besar. Jika hati manusia senang dan mudah terpaut dengan kecantikan bunga dan keindahan alam, maka akan lebih tersentuh lagi oleh keindahan al-Quran.

Ketika menerima nikmat, kita bersyukur. Ketika menerima ujian, kita bersabar. Menghafal al-Quran tidak perlu bersabar kerana ia bukannya musibah. Kita hanya perlu bersyukur. Ketika menghafal, kita sedang mengecap nikmat al-Quran. Lalu menghafal dengan syukur, kita akan melakukan pecutan demi pecutan kerana orang yang bersyukur memang akan ditambah nikmat ALLAH.

Seminar turut diserikan dengan dua pembentang utama iaitu Ustaz Bachtiar Nasir dan Dr Abdul Basit Abdul Rahman.

Maklum balas diterima daripada peserta memberangsangkan lebih-lebih lagi peserta diajar cara yang betul untuk bertadabur al-Quran.

Al-Quran adalah zikir terindah, al-Quranlah yang lebih sesuai menenangkan hati manusia. Hati yang luluh mendengar al-Quran lebih mudah untuk membacanya, mengulanginya, menghafal dan mentadaburnya tanpa bosan serta dapat mempengaruhi kualiti kehidupan.

Pesan pembentang, biarkan al-Quran mengalir secara semula jadi ke dalam diri, jangan dipaksa dan jangan terburu-buru. Kenikmatan interaksi bersama al-Quran hanya dapat diperoleh melalui cara bertadabur ayat demi ayat sehingga maknanya meresap ke dalam diri. Bahkan generasi awal sahabat, ada yang hanya membaca satu ayat dalam solat malam berulang-ulang sehingga ke subuh esoknya kerana penghayatan yang amat mendalam.

Cukuplah bersyukur kerana memiliki hati yang hidup sebagai pancaindera memahami dan menghafal al-Quran, juga mensyukuri nikmat pandangan dan pendengaran, dengan anugerah pancaindera ini, al-Quran memang sudah tersedia untuk dinikmati.