SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Idris Ahmad meminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersabar dalam desakan berterusannya yang meminta pemimpin Pas mengarahkan wakil Pas di Pulau Pinang meletakkan jawatan segera.

Menurut Idris, semua pihak perlu menanti sehingga Pas membuat keputusan sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kita minta (Guan Eng) sabar...tunggulah keputusan (Pas). Kita ada parti," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Hari ini, Guang Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan kegagalan pimpinan Pas yang baharu mengarahkan wakilnya meletakkan jawatan di Pulau Pinang sangat memalukan.

Malah katanya, tindakan empat Ahli Majlis Pas dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis
Perbandaran Seberang Perai mempertahankan jawatan mereka telah merendahkan maruah dan penghormatan kepada Pas di mata orang ramai.

Rabu lepas, perwakilan Pas sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan Pas ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, secara logiknya Pas harus mengarahkan wakil mereka untuk meletakkan jawatan kerana mereka bukan lagi sebahagian daripada Pakatan Rakyat susulan keputusan rakan sekutunya itu untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana empat Ahli Majlis Pas berkenaan mampu berkhidmat dengan kerajaan negeri secara efektif sedangkan Pas telah memutuskan hubungan dengan DAP.