SHAH ALAM –  DAP lah yang memulakan kekeruhan ini apabila menunjukkan segala penentangan terhadap prinsip dasar Pas dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan secara terbuka, selain melakukan serangan bertubi-tubi terhadap Presiden Pas, kata Setiausaha Dewan Ulama Pas Selangor, Muhammad Najhan Halim.

Malah dakwanya, DAP juga tidak beradab kerana mencampuri pemilihan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, baru-baru ini.

“Usul ini tiada berkepentingan yang lain melainkan melihat masa depan survival perjuangan Islam dan Pas sebagai satu amanah agama ke atas orang Islam yang mungkin tidak difahami oleh sebahagian masyarakat bahkan mungkin sebahagian kecil ahli Pas sendiri terkeliru.

“Usul ini juga sudah tentu menimbulkan reaksi daripada pihak DAP yang sepatutnya mampu menjangkakan bahawa dengan beberapa bilangan tindakan mereka sebelum ini adalah provokasi negatif terhadap Pas sehingga timbulnya usul ini,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Sehububgan itu katanya, DAP wajar menoleh ke belakang untuk melihat keceluparan tindakan dan sikap mereka yang telah mencalarkan persepakatan bersama dalam PR.

Malah, Muhammad Najhan dalam kenyataan sama menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai pemimpin yang tidak profesional berikutan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang meminta kesemua ahli Pas yang memegang jawatan di Pulau Pinang meletakkan jawatan masing-masing

“Guang Eng menunjukkan amarahnya apabila meminta kesemua ahli Pas yang memegang jawatan di Pulau Pinang meletak jawatan masing-masing dengan serta merta atas alasan kerajaan Pulau Pinang dipimpin oleh DAP.

“Lupakah Lim Guang Eng kerajaan DAP adalah dimenangi secara bersama dalam PR dan kerajaan itu adalah kerajaan bersama? Adakah DAP sudah lupa identiti dirinya sendiri yang pernah mendakwa diri mereka sebagai perjuang demokrasi dalam negara ini?,” soalnya.