Sabtu, 20 Jun 2015

DAP sedia terima kerajaan gabungan di Selangor


 
 
SHAH ALAM – DAP mengalu-alukan kerajaan gabungan di Selangor dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang lain bersama PKR.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, mesyuarat DAP Selangor telah mengemukakan cadangan penyelesaian untuk dibincang dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi di sini bahawa mesyuarat DAP Selangor telah mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian untuk dibincang dengan menteri besar. Kami juga mengambil pendirian untuk sedia mendengar cadangan-cadangan daripada beliau.

“Dengan tidak wujud lagi kerajaan PR, kami mengalu-alukan sebuah ‘Kerajaan Gabungan Negeri Selangor’ yang baharu. Gabungan ini perlulah berasas secara menyeluruh kepada Kerangka Dasar Bersama dan manifesto kerajaan Selangor yang diberikan mandat oleh rakyat pada pilihan raya yang lalu.

“Kami mengalu-alukan Kerajaan Gabungan ini bersama dengan PKR dan mana-mana pihak lain yang sedia bekerjasama politik antara satu sama lain secara rasmi, untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan pertemuan dengan Azmin amat penting dan perlu disegerakan.

“Oleh sebab itu, perjumpaan antara DAP Selangor dengan menteri besar adalah amat penting dan perlu disegerakan untuk menyelesaikan kemelut politik ini secepat mungkin. Selagi mesyuarat ini belum diadakan, tidak hairanlah jika ada pihak-pihak yang ingin mencetuskan sangkaan buruk di dalam media massa arus perdana.

“Permintaan ini telah disampaikan kepada menteri besar pada hari Khamis yang lalu dan kami kini menunggu penetapan tarikh dan masa dari pejabat beliau,” katanya.

Sebelum itu beliau menafikan laporan sebuah akhbar yang melaporkan hasil mesyuarat tergempar DAP Selangor memutuskan supaya mendesak Azmin memecat tiga exco Pas ekoran pengisytiharan PR sudah tidak wujud.

“DAP Selangor dengan sebulat suara mengambil keputusan supaya tidak berniat menjejaskan kerajaan Selangor dan pembubaran Dun Selangor adalah usaha terakhir yang langsung tidak diingini,” katanya

Tiada ulasan: