Selasa, 16 Jun 2015

DAP dan PKR, jangan masuk campur - Nik Zawawi [TONTON VIDEO]

Oleh Nur Atiqah Abd Samad

 
Post Pic




SHAH ALAM: DAP dan PKR tidak faham prosedur sesuatu usul dalam PAS, sehubungan itu kedua-dua parti itu disaran agar tidak masuk campur.

Itu penegasan daripada Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Nik Salleh.

"Dia (PKR,DAP) tak faham. Mereka tak payah nak campur masalah dalaman PAS, kita nak bawa ke mana-mana ikut pandai kitalah," katanya kepada Antarapos.

DAP dan PKR mengambil ketetapan bahawa 'usul putus hubungan dengan DAP' yang diluluskan Muktamar PAS sudah berkuatkuasa dan tidak perlu dibawa kepada Majlis Syura Ulama.

Ini kerana dakwa dua parti itu usul berkenaan sudahpun diluluskan oleh badan pembuat keputusan tertinggi dalam PAS justeru tiada keperluan untuk dibincang Majlis Syura Ulama lagi.

Ketika ditanya mengenai kedudukan PAS setakat ini, ujar Nik Zawawi parti itu masih anggota Pakatan Rakyat.

"Kita masih biasa lagi, kita tak ada apa-apa keputusan. PAS ni berpegang pada prinsip agama, sekiranya agama masih membenarkan kita berada dalam Pakatan maka kita kekal dalam Pakatan.

"Kalau agama dari segi hukumnya kata Tahaluf Siyasi batal, kita akan keluar daripada Pakatan. Ia berasaskan kepada hukum," jelasnya.

Namun sekiranya perkara sebaliknya berlaku meskipun hubungan yang terjalin antara ketiga-tiga komponen ini berjalan dengan baik tetapi tidak mengikut lunas-lunas agama, maka ia akan terbatal.

"Sekiranya hukum memutuskan untuk kita putus maka kita putuslah. PAS ni perjuangan Islam dan akan ikut lunas-lunas yang digariskan dalam agama Islam.

"Kalau Tahaluf Siyasi ini syarat-syarat masih kekal, walaupun sukar kita akan tetap dalam Pakatan. Sekiranya syarat-syarat dan peraturan itu terbubar/terbatal maka walaupun tiada masalah kita akan keluar," katanya.

Nik Zawawi berkata, tarikh untuk Majlis Syura Ulama bersidang bagi membincangkan perihal usul putus hubungan itu sudah ditetapkan, namun ia masih dirahsiakan.

Bagaimanapun ia akan dimaklumkan kepada umum apabila tiba waktunya.

Tiada ulasan: