Ahad, 21 Jun 2015

Bolehkah direalisasi MP wakil intelektual, universiti?


Oleh ZAHARUDIN MUHAMMAD


Saya terfikir bagaimana Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek boleh tidak mengetahui berkenaan faktor kenaikan dan penurunan harga barang. Datuk Ahmad Maslan sebagai Timbalan Menteri Kewangan tidak memahami tentang GST.

Saya fikir bagaimana menteri tidak memahami secara mendalam berkenaan portfolio masing-masing. Paling kurang, orang yang menjadi menteri di bidang tertentu, mestilah mari daripada pengajian atau keterlibatan dengan bidang tersebut.

Mungkinkah perlu Ahli Parlimen (MP) akan datang mari daripada wakil intelek dari pelbagai bidang atau daripada universiti berdasarkan bidang masing-masing? Mereka adalah intelek yang mengkaji dan rakyat perlu dipimpin oleh pemimpin yang intelek dan mempunyai akal serta ilmu yang tinggi.

Hari ini, ada MP datang daripada latar belakang pendidikan yang rendah dan tiada pengalaman yang penting. Bila jadi menteri, dia bercakap dan buat polisi serta undang-undang yang tidak memahami akar umbi dan ilmu yang berkaitan.

Ini disebabkan mereka dipilih atas dasar pengaruh di kawasan Parlimen masing-masing. Pengaruh itu berlaku antara faktor besar ialah kewangan dan latar belakang keluarga. Sekalipun mereka tidak berilmu, tidak berpengalaman dalam bidang kehidupan, tetapi jika mereka berduit dan mempunyai keluarga yang 'bangsawan', maka mereka akan menang. Inilah namanya pemimpin Al-Mala'. Lebih membimbangkan ialah, kawasan-kawasan yang miskin dan tidak berpendidikan, faktor duit memainkan peranan yang besar untuk memenangkan pemimpin Al-Malak.

Realiti ini membuka ruang yang besar untuk musuh luar khususnya kuasa besar menaja calon-calon mereka melalui dana-dana yang disalurkan secara tidak langusng dan 'bawah tanah'. Termasuk juga korporat-korporat yang mempunyai kepentingan aset negara akan terus menaja pempimpin negara dengan bantuan ketika kempen pilihan raya di kawasan-kawasan. Bila orang yang ditaja itu menang dan jadi menteri, maka polisi negara lebih cenderung memenangkan korporat-korporat ini berbanding rakyat.

Wakil universiti ini dipilih atas keintelektualan mereka sebagaimana dipilih doktor pakar di hospital-hospital. Kriteria ini bukan boleh dicipta dengan duit. Mereka juga bukan daripada parti mana-mana supaya mereka lebih independent dan berkecuali.

Hari ini, apa-apa keputusan mesti terikat dengan parti. Jika pensyarah ingin terlibat dengan politik, maka perlu letak jawatan dan dipandang serong.

Sepatutnya setiap universiti atau bidang mempunyai kerusi di Parlimen, mendapat cuti daripada univeristi selama penggal menjadi Ahli Parlimen dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik untuk bertanding.

Mungkin bukan sahaja universiti, bahkan mungkin juga Ahli Parlimen juga perlu diwakili oleh salah seoarang Board Director atau Penasihat Syariah Bank supaya polisi-polisi berkaitan dapat dibahaskan oleh mereka yang berkelayakan. Yang penting dalam poin yang ingin saya ketengahkan ialah bagaimana untuk maksimumkan golongan intelek pelbagai bidang dalam Parlimen untuk memacu negara supaya lebih maju dan terkehadapan.

Pandangan ini semoga dapat memaksimumkan golongan cerdik pandai dalam parlimen seterusnya bagi mengelakkan Parlimen menjadi kedai kopi yang masanya habis dengan sindir menyindir dan lebih teruk maki memaki. Yang hero dalam parlimen ialah bukan siapa yang dapat mematikan hujah tetapi dapat mematikan cakap lawan dengan pelbagai teknik seperti kacau minta laluan. Apabila laluan diberikan maka ianya diisi dengan merapu supaya masa Ahli Parlimen yang sedang bercakap habis dengan 'kacau'.

Di dalam Islam, kelayakan utama menjadi pemimpin ialah orang yang berilmu sama ada ilmu itu mari daripada pengajian atau pengalaman. Dalam surah Al-Baqarah akhir juzuk kedua memberikan pengajaran bahawa Bani Israel berlaku perubahan positif apabila mereka mula dipimpin oleh Talut, seorang yang berilmu setelah mereka mundur dan dijajah selama 40 tahun ketika dipimpin oleh golongan Al-Malak (dipilih berasaskan pengaruh).

Insya Allah, umat kita Malaysia akan berubah apabila kita mula dipimpin oleh mereka yang berilmu dan bukan lagi dipimpin oleh Al-Malak.

Sekarang masanya untuk Malaysia berubah ke arah kecemerlangan!

(*)  Penulis ialah AJK PAS Pusat.

Tiada ulasan: