Rabu, 24 Jun 2015

BN boleh tawan semula Selangor pada PRU14, kata Mubarak Selangor

THE MALAYSIAN INSIDER


Melihat kepada senario politik di Selangor yang kini berdepan pelbagai krisis dalam gabungan pakatan pembangkang, peluang kini amat cerah dan tidak mustahil berpihak kepada BN, kata Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Jun, 2015.Melihat kepada senario politik di Selangor yang kini berdepan pelbagai krisis dalam gabungan pakatan pembangkang, peluang kini amat cerah dan tidak mustahil berpihak kepada BN, kata Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar. – Gambar fail The Malaysian Insider.



Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor yakin Selangor akan kembali diambil alih oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar berkata melihat kepada senario politik di negeri itu yang kini berdepan pelbagai krisis dalam gabungan pakatan pembangkang, peluang kini amat cerah dan tidak mustahil berpihak kepada BN.

"Mubarak Selangor menyatakan kepada Badan Perhubungan Umno Selangor bahawa kita akan bantu dalam kempen PRU14 nanti dan sudah menyediakan jentera yang kuat di peringkat negeri dan semua bahagian untuk menakluki majoriti kerusi yang dipertanding," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.


Abu Hassan yang juga bekas menteri besar Selangor berkata demikian ketika majlis kunjungan dan penyampaian sumbangan Aidilfitri Perdana Menteri kepada ahli Mubarak yang sakit, di kediaman bekas wakil rakyat Selangor Choo Yong Fatt di Bukit Gasing di Kuala Lumpur.

Turut hadir Naib Presiden Mubarak Malaysia Tan Sri Zaleha Ismail, Naib Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Zainal Dahlan dan Setiausaha Mubarak Selangor Datuk Samad Maharuddin.

Sementara itu, Choo bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek dan Kuala Kubu Baru bersetuju dan berkata bagi mengembalikan kepercayaan serta memperoleh sokongan padu rakyat kepada parti, BN perlu memberi keutamaan menghidupkan semangat parti yang bersatu teguh.

Mubarak juga menyampaikan sumbangan kepada bekas Adun Paya Jaras Datuk Saidin Thamby di kediamannya di Selayang sebagai meringankan kos pembiayaan rawatan kesihatannya.

Saidin, 79, yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Selayang kini terlantar akibat strok yang dihidapi sejak awal tahun ini dan mendapatkan rawatan secara berkala di Hospital Selayang dan di Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (NASAM).

Zaleha berkata sumbangan yang disampaikan berupa wang tunai RM2,000 yang merupakan sumbangan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, RM500 daripada Mubarak Selangor serta hamper.

"Ini merupakan program yang sering kita (Mubarak) lakukan sebagai tanda ingatan kepada kawan-kawan kita yang selama ini sama-sama berbakti menumpahkan jasa.

"Sesuai dengan motto Mubarak 'Terus Berkhidmat' maka kita mahu buktikan walau sudah tidak ada apa-apa jawatan dalam kerajaan, kita ada semangat untuk tabur khidmat bakti hingga akhir hayat," kata bekas menteri perpaduan negara dan pembangunan masyarakat itu.

Isteri kepada Saidin, Datin Maimunah Mohd Shafie, 68, menyambut baik lawatan Mubarak ke kediamannya yang disifatkan sebagai tanda mengukuhkan ikatan silaturahim selain menceriakan suaminya apabila melihat rakan seperjuangan berada di hadapan mata.

"Suami nampak bersemangat mahu bersembang dengan rakan-rakan beliau. Terima kasih Mubarak," katanya.

Sementara itu, Abu Hassan berkata walaupun sumbangan itu tidak seberapa, lawatan Mubarak sebagai tanda keprihatinan mengiktiraf jasa dan bakti anggotanya yang terlantar sakit.

"Selain sumbangan, kita juga berdoa agar rakan kita yang tidak berapa sihat akan cepat sembuh dan dapat beribadat di bulan mulia ini dan menyambut Hari Raya bersama keluarga," katanya. – Bernama,

Tiada ulasan: