Anuar Manan
PELUMBA lebuh raya profesional negara Anuar Manan
menolak andaian bahawa prestasi seseorang pelumba akan merosot selepas
mereka berkahwin.
Beliau yang baru berkahwin bulan lalu berkata ia turut bergantung pada
komitmen serta disiplin seseorang atlet untuk mengekalkan prestasi
mereka.
"Semuanya terpulang kepada pelumba itu sendiri. Jika mereka mampu
mengekalkan disiplin serta menjalani latihan berterusan, ia sedikit pun
tidak akan mengganggu prestasi mereka biarpun setelah berkahwin.
"Ramai rakan seperjuangan saya telah menamatkan zaman bujang seperti
Mohamed Zamri Salleh, malahan prestasi dia semakin meningkat selepas
berkahwin," katanya kepada Bernama.
Malah anak jati Kuala Ibai ini berazam untuk mengekalkan prestasi dalam
arena berbasikal negara biar pun memegang status sebagai suami dan
menegaskan statusnya itu malah memberi semangat baru untuknya melakar
lebih banyak kejayaan.
Anuar, 29, diijab kabul dengan pasangannya Maizura Kamal pada 22 Mei lalu di Ampang, Selangor.
Beliau yang akan membawa cabaran negara pada Sukan Sea ke-28 di
Singapura berhasrat memburu kilauan emas dalam acara lebuh raya sebagai
hadiah istimewa untuk isterinya dan negara.
"Saya akan cuba sedaya upaya untuk membawa pulang pingat emas untuk
dijadikan hadiah istimewa buat pasangan saya sekali gus menamatkan
kemarau emas yang saya idamkan," katanya di sini hari ini.
Selain Anuar, skuad lebuh raya negara dibarisi Mohd Adiq Husainie Othman, Mohd Harrif dan Mohamed Zamri Salleh.
Untuk rekod, Anuar pernah melakar sejarah selaku pelumba Malaysia
pertama menyarung jersi Hijau selaku Raja Pecut pada Le Tour de Langkawi
2010. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan