KOTA BHARU: PAS bersedia mengarahkan anggotanya melepaskan jawatan
dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang jika Majlis Syura Ulama
membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan DAP, kata Naib Presiden PAS
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Dalam pada itu, beliau turut membidas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
supaya tidak mengajar parti itu, kerana menurutnya, PAS Pulau Pinang
bersedia mengundurkan diri daripada pentadbiran apabila tiba masanya.
"PAS Pulau Pinang memang sudah bersedia, dulu pada tahun 1977, berlaku
darurat di Kelantan apabila PAS ditendang keluar oleh BN (Barisan
Nasional), semua pemimpin PAS melepaskan jawatan, tidak ada masalah...
bukan sayang pada jawatan.
"Saya juga ingin nasihat kepada Guan Eng jangan ajar kita, kita (PAS)
tahu apa hendak buat. Kalau betul-betul putus, kita akan keluarkan
arahan melepaskan jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Festival Koperasi Tengku Muhammad Faris Petra 2015 di perkarangan
Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan DAP
yang meminta anggota PAS supaya meletakkan jawatan yang dipegang dalam
kerajaan negeri Pulau Pinang.
Mohd Amar sebelum ini menegaskan pemimpin dan anggota PAS tidak takut
kehilangan jawatan dalam kerajaan pakatan pembangkang di Selangor dan
Pulau Pinang, sekiranya hubungan antara PAS dan DAP terlerai selepas
ini.
Lim sebelum itu dipetik sebagai berkata beliau mengharapkan PAS
menunjukkan bahawa maruah politik masih wujud dalam kalangan kepimpinan
baharu parti itu dengan mengarahkan wakilnya dalam kerajaan negeri Pulau
Pinang meletakkan jawatan.
Mohd Amar berkata pada masa ini, Majlis Syura Ulama belum membuat
sebarang keputusan mengenai masa depan hubungan kedua-kedua parti itu
dan dijangka majlis tersebut akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh
terdekat.
"Sekarang orang baru bincang kata hendak cerai, bukan cerai lagi, kalau bercerai selesailah cerita," katanya.
Dewan Ulama PAS sebelum ini sebulat suara meluluskan usul tergempar
untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61
tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik
dalam pakatan pembangkang.
Dalam pada itu, Mohd Amar turut mengakui anggota Majlis Mesyuarat
Negeri di Pulau Pinang dikuasai oleh DAP, namun parti itu perlu sedar
kemenangan yang dikecapi mereka adalah sumbangan PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan