SHAH ALAM – Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said hari ini secara rasminya menyertai DAP selepas perkara itu diumumkan penasihat parti itu, Lim Kit Siang dalam satu program, di Gua Musang Kelantan, hari ini.
 
Kemasukan Samad ke dalam parti itu turut dirakam dan dimuat naik dalam akaun Twitter milik DAP Malaysia sebentar tadi dengan memaparkan pemimpin masyarakat itu menerima kad keahlian yang diserahkan sendiri oleh Kit Siang.
 
“Sasterawan Negara Sdr @asamadsaid menerima kad keahlian DAP beliau dari Ketua Parlimen DAP @limkitsiang,” tulis Dap Malaysia dalam laman sosialnya, hari ini.
 
Penisytiharan itu turut disaksikan oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam majlis penyerahan rasmi rumah mangsa banjir anjuran pertubuhan Gabungan Impian Kelantan (GIK) di Gua Musang, Kelantan, hari ini.
 
Beliau yang lebih sinonim dengan panggilan Pak Samad mula berjinak dalam politik dengan kempen menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009.
 
Sebelum menyertai DAP, beliau cukup aktif dengan kegiatan masyarakat dan pernah memimpin gerakan pembaharuan pilihan raya, BERSIH yang menuntut proses pengundian dijalankan dengan adil.