Abu Kassim  
Abu Kassim
KUALA LUMPUR - [VIDEO] Tahap rasuah di negara-negara Anggota Asia Tenggara tidak dapat diukur kerana belum ada mekanisme yang sesuai, demikian menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata, persoalan tahap itu begitu subjektif memandangkan kesemua negara Asia Tenggara sedang mengumpul maklumat bagi mencari mekanisme terbaik membantu untuk mengurangkan kadar rasuah di setiap negara.

"Menerusi mesyuarat sebegini, kita akan dapat membantu setiap negara di Asia Tenggara apabila empat negara asas iaitu Malaysia, Brunei, Sinapura dan Indonesia akan membentangkan senarai kes-kes yang berjaya diselesaikan fi setiap negara.

"Dengan perkongsian itu, enam lagi negara baru akan turut sama meneliti seterusnya boleh diaplikasikan di negara sendiri," katanya dalam sidang media mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (Sea-Pac), di sini, pagi tadi.

Beliau berkata, kerjasama multilateral ini berdasarkan pada Artikel 48 Kerjasama Penguatkuasaan Undang-undang Konvesyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC).

"Semua negara Asia Tenggara perlu bersatu dan bekerja dengan lebih rapat antara satu sama lain, secara konsisten bagi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan undang-undang bagi memerangi kesalahan yang terkandung dalam UNCAC.

"SPRM sendiri akan membentangkan mekanisme penubuhan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (CIG) di peringkat Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan di bawah pemantauan SPRM dan Jabatan Perdana Menteri serta penubuhan Unit Integriti yang akan diletakkan secara pentadbiran sebagai langkah untuk memerangi rasuah di agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan," katanya.