Ahad, 21 Disember 2014

SPR berniat jahat, tak umum tarikh persempadanan semula

sprmalaysia

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sehingga kini masih berteka-teki berhubung tarikh permulaan persempadanan semula.

Bersih 2.0 dalam kenyataannya baru-baru ini mendedahkan, tarikh permulaan persempadanan semula berulang kali diubah dan ditangguh dari tahun 2011 ke 2012, 2013 dan kemudiannya Mac lalu hingga hujung tahun ini.

“Bersih menggesa Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof membetulkan kesalahan lepas dengan berunding secara profesional bersama semua pihak berkepentingan dalam persempadanan semula termasuk mengemukakan maklumat terperinci tentang operasi proses bantahan, pendengaran serta mengumumkan jadual proses.

“SPR tidak boleh menjadikan tarikh permulaan persempadanan semula sebagai teka-teki,” kenyataan Bersih 2.0 dipetik.

Bersih 2.0 turut menyelar keengganan Abdul Aziz untuk bertemu masyarakat sivil lain bagi membincangkan isu persempadanan semula serta penambahan kerusi Parlimen.

“Perkara 114(2) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan kepentingan keyakinan orang ramai terhadap tugas SPR, dan ia merupakan kriteria tunggal yang menentukan pelantikan keahlian SPR oleh Yang DiPertuan Agong.

“Kedegilan Abdul Aziz dalam isu penglibatan masyarakat sivil dapat dilihat dalam pengendalian proses persempadanan semula, termasuk mengecualikan kerajaan negeri (Pulau Pinang), tetapi berunding dengan parti politik tertentu (UMNO-BN),” tegasnya.

Rekod proses persempadanan semula pada 2003 dan 2005 menunjukkan penemuan mengejutkan, di mana peruntukan Perlembagaan dalam Jadual 13 langsung tidak dipatuhi.

Berdasarkan laporan persempadanan semula SPR untuk Semenanjung Malaysia yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 April 2003 menunjukkan SPR menerima bantahan inidividu bersendirian seperti pemimpin UMNO, walaupun jadual 13 menyatakan pembantah hanya boleh terdiri daripada kerajaan negeri, majlis perbandaran tempatan atau dari 100 pengundi terlibat.

SPR tiada kuasa tambah kerusi Parlimen

Bersih 2.0 turut mengingatkan SPR untuk tidak mengambil alih kuasa Parlimen berhubung isu penambahan kerusi dan Abdul Aziz tidak boleh menjadikan penambahan kerusi sebagai prosedur lazim sewenang-wenangnya seperti dilakukan pada 2003 dan 2005.

“Penambahan kerusi adalah di bawah bidang kuasa Parlimen, dan SPR tidak boleh mengambilalih kuasa Parlimen dengan memasukkan cadangan penambahan kerusi ke dalam cadangan persempadanan semula.

“Kami akan mencabar tindakan tersebut dari segi keserasiannya dengan Perlembagaan, kerana SPR tidak mempunyai hak mencadangkan penambahan kerusi,” ujarnya.

Penambahan kerusi merupakan bidang kuasa Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti fungsi badan perundangan, seterusnya menentukan saiz optimum dan agihan kerusi antara negeri supaya pembahagiaan dapat dijalankan secara adil serta serasi dengan Perlembagaan.

“Jawatankuasa inilah yang harus mengemukakan cadangan, sekiranya diperlukan meminda Perkara 46 Perlembagaan yang menetapkan jumlah kerusi Parlimen pada masa kini sebanyak 222. – Roketkini.com

Tiada ulasan: