Gambar menunjukkan Faizilawadi memeluk seekor kucing bunting dan menyelamatkannya daripada banjir menjadi viral dalam internet hari ini. Gambar menunjukkan Faizilawadi memeluk seekor kucing bunting dan menyelamatkannya daripada banjir menjadi viral dalam internet hari ini.
 
 
KUALA KANGSAR - Gambar seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyelamatkan seekor kucing bunting sewaktu banjir di Kuala Kangsar menjadi viral di laman sosial hari ini.

Tindakannya itu mendapat reaksi positif dari pengguna laman sosial dan ramai memuji sifat penyayang yang dimiliki anggota bernama Faizilawadi Husin, 29, itu.

Ketika menceritakan semula kejadian tersebut, Faizilawadi memberitahu dia ternampak kucing tersebut cuba menyeberang banjir namun haiwan tersebut kelihatan seperti dalam ketakutan.

Tanpa berfikir panjang, dia terus menghampiri kucing tersebut dan membawanya menyeberangi banjir yang berlaku berhampiran Arena Square Kuala Kangsar itu.

"Masa nampak kucing itu, saya berasa kasihan kerana terfikir kucing itu pasti dalam kesejukan dan ketakutan selepas terperangkap di situ.

"Sebaik sahaja saya memegangnya, dia tidak bergerak dan diam semasa berada dalam pelukan saya. Saya gembira kerana dapat menyelamatkan kucing itu," katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang merupakan anggota JPAM Larut Matang dan Selama mengakui sifat cintakan kucing menjadi punca dia segera menyelamatkan haiwan tersebut tanpa menghiraukan keadaan banjir di situ.

"Saya membela kira-kira 20 ekor kucing dalam rumah saya di Changkat Jering. Mungkin kerana sayangkan kucing, saya tidak fikir panjang untuk selamatkan kucing yang terperangkap itu," katanya.