Rabu, 17 Disember 2014

PR akan selesaikan isu hudud secepat mungkin


Nurul Izzah Anwar  
Nurul Izzah Anwar


SHAH ALAM – PR akan segera menyelesaikan kemelut yang berlaku antara Pas dan DAP berhubung isu hudud yang menjadi pertikaian antara dua parti itu.

Naib Presiden PKR,  Nurul Izzah Anwar berkata,  PR akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan hal itu.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam minggu ini.

“Kita juga akan keluarkan kenyataan media dalam tempoh terdekat berhubung isu ini,” katanya semalam selepas hadir menyerahkan petisyen bantahan terhadap pentadbiran Universiti Malaya (UM) berhubung tindakan kepada tujuh pemimpin pelajar dikenakan tindakan disiplin.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hudud: Sudah 20 tahun Pas tunggu]

Ketika ditanya mengenai pendirian PKR berhubung isu itu, Nurul Izzah enggan mengulas lanjut dan mengulangi kenyataannya yang perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat PR.

Sementara itu Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shaari berkata, isu hudud adalah satu keputusan dasar dan ia perlu diselesaikan secara mesyuarat bersama komponen PR.

“Hudud ialah keputusan dasar tidak boleh diselesaikan dengan kenyataan media dan berseorangan. Kena ada perbincangan bersama.

“Pas perlu terbuka untuk memperkemaskan hudud. Sebelum ini Pas maklumkan nak tubuhkan jawatankuasa untuk beri pemahaman tentang hudud jadi proses itu harus dijalankan, tidak boleh dilaksanakan begitu sahaja,” katanya selepas sidang media Program Temasya Selangor, di sini, semalam.

Tiada ulasan: